Suatu matlamat penting – simpanan untuk keperluan kecemasan
Apakah yang akan berlaku jika tiba-tiba anda tidak mampu membiayai pendidikan anda?
Bolehkah anda mengorbankan matlamat untuk memperoleh ijazah atau adakah anda mempunyai rancangan
sokongan untuk menghadapi perkara yang tidak diduga?
Dalam kehidupan, terdapat banyak ketidaktentuan yang mungkin anda hadapi. Daripada kerosakan kecil kenderaan kepada kematian pencari nafkah tunggal dalam keluarga. Peristiwa sedemikian yang tidak diduga mungkin berlaku dan boleh membawa kemudaratan kepada anda atau ahli keluarga anda. Dalam kebanyakan keadaan tersebut, wang diperlukan.
Adalah amat penting bagi anda untuk bersedia dan mempunyai sumber sokongan serta pengetahuan untuk menghadapi situasi yang memerlukan anda berfikir bagaimana menyelesaikan masalah yang mungkin di luar pengalaman anda. Dana kecemasan adalah salah suatu alat sokongan yang boleh digunakan. Senaraikan dana kecemasan sebagai suatu matlamat kewangan anda.
Sebagai panduan, anda memerlukan simpanan bagi perbelanjaan sara hidup selama sekurang-kurangnya enam (6) bulan dalam dana kecemasan anda. Malah lebih baik menyimpan bagi perbelanjaan sehingga 12 bulan.
Contoh :
Jika anda memerlukan lebih kurang RM1,500 sebulan untuk perbelanjaan sara hidup, termasuk bayaran tetap seperti pinjaman perumahan atau sewa dan premium insurans, bil elektrik dan air, anda sepatutnya mempunyai sekurang-kurangnya RM9,000 dalam dana kecemasan (iaitu RM1,500 x 6 bulan).
Jika boleh, simpan RM18,000 dalam dana kecemasan (RM1,500 x 12 bulan). Pada mulanya mungkin sukar bagi anda menyimpan wang sebanyak itu, tetapi simpanlah sedikit demi sedikit bagi tempoh tertentu untuk membina dana ini.
Ingat, anda harus berusaha gigih untuk menyimpan wang.