Membuat bajet dan merancang perbelanjaan
Dalam perancangan kewangan, adalah penting untuk membuat bajet. Benar, berbelanja mengikut bajet memerlukan disiplin diri yang tinggi tetapi amalan ini boleh membantu anda untuk:
• hidup mengikut kemampuan pendapatan bulanan.
• memperuntukkan wang atau menabung.
• mencapai matlamat kewangan anda.
• menyediakan dana kecemasan.
• memupuk tabiat mengurus kewangan yang baik sambil
• membuat tinjauan atas aliran tunai dan nilai harta bersih anda.
Sediakan bajet pada awal bulan atau pada hari anda menerima gaji bulanan. Semasa menyediakan bajet peribadi anda:
• Rujuk kepada matlamat kewangan anda. Bandingkan bajet dengan matlamat kewangan untuk memastikan anda dapat mencapainya. Sebagai contoh, jika anda telah membuat sasaran meletakkan bayaran pendahuluan untuk membeli sebuah kereta dalam tempoh satu tahun, pastikan setiap bulan anda membuat simpanan wang ke arah matlamat ini.
• Buat anggaran pendapatan mengikut tempoh bajet. Ini merangkumi gaji, komisen, elaun dan lain-lain sumber kewangan.
• Simpan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan anda untuk tabungan (20-30% adalah lebih baik kerana ini menyediakan tabungan persaraan yang lebih besar).
• Simpan untuk dana kecemasan.
• Buat anggaran untuk perbelanjaan tetap bagi tempoh bajet. Ini merupakan perbelanjaan yang perlu dibayar atau dibelanjakan termasuk sewa rumah, ansuran pinjaman, pembayaran kad kredit dan premium insurans.
• Juga, buat anggaran perbelanjaan boleh ubah bagi tempoh tersebut. Ini meliputi perkara seperti petrol, barang-barang dapur, bil elektrik dan air.
• Selain itu, buat anggaran untuk perbelanjaan mengikut budi bicara, iaitu bagi sesuatu yang anda mempunyai pilihan sama ada untuk berbelanja ataupun tidak. Ini termasuklah pembelian hadiah, keperluan hobi, hiburan dan pergi bercuti. Untuk menyediakan bajet yang terurus, anda perlu ingat:
• Bersabar dan berdisplin. Penyediaan bajet yang baik pastinya mengambil masa dan usaha yang berterusan. Jangan berputus asa jika anda rasa seolah-olah terlalu banyak yang perlu dilakukan!
• Bersikap realistik. Jika anda berpendapatan sederhana, jangan berharap untuk menyimpan wang yang banyak dalam tempoh masa yang singkat.
• Bersikap fleksibel. Mungkin terdapat perbelanjaan yang tidak diduga dan perubahan dalam harga barangan dapur dan lain-lain perkara, maka kaji semula bajet apabila perlu.
• Simpan sebahagian daripada wang untuk hiburan. Anda masih muda dan mungkin ingin keluar berhibur bersama kawan atau pergi menonton wayang.
Ingat:
Bajet hanya membawa manfaat sekiranya anda mengikutinya!