Kepakaran

Kepakaran

Jumaat, 21 Disember 2012

MENAMBAHKAN NILAI HARTA BERSIH ANDA

Membina kekayaan adalah mengenai penambahan nilai harta bersih anda, yang telah dibincangkan dalam topik yang lepas. Aset tolak liabiliti sama dengan nilai harta bersih anda, yang mungkin positif (nilai aset melebihi nilai liabiliti) atau negatif (nilai liabiliti melebihi nilai aset).

Kali ini kita akan bertumpu pada peningkatan aset melalui simpanan dan pelaburan.

Matlamat pelaburan anda

                            

Apabila anda menabung secara berterusan, anda perlu membuat keputusan penting tentang cara melabur wang anda. Bagaimana berbuat demikian? Mudah saja, langkah pertama untuk melabur secara berhemat adalah dengan menetapkan matlamat pelaburan anda.

Bagaimana menetapkan matlamat pelaburan yang sesuai dengan keperluan anda?

Terdapat pelbagai soalan penting yang perlu difikirkan sebelum keputusan pelaburan dibuat. Mari kita kaji soalan-soalan di bawah:
• Apakah matlamat kewangan anda? Kenapakah perlu menyimpan dan melabur wang?
• Berapakah jumlah wang yang perlu disimpan dan berapa pula jumlah wang yang perlu
dilaburkan untuk mencapai matlamat anda?
• Berapa lamakah wang perlu disimpan atau dilaburkan untuk mencapai matlamat tersebut?
• Berapa banyak risiko yang sanggup anda tanggung?
• Berapa banyak pulangan yang dijangkakan daripada simpanan atau pelaburan anda?
• Apakah yang sanggup anda korbankan demi mencapai matlamat ini? Contohnya, menukar gaya hidup atau tabiat perbelanjaan yang sedia ada.

Anda hendaklah bersikap realistik apabila menjawab soalan-soalan di atas. Ambil kira sumber pendapatan anda dan fikir bagaimana anda boleh menyimpan dan melabur secara konsisten. Matlamat kewangan dan pelaburan anda seharusnya munasabah dan boleh dicapai. Ingatlah untuk menjadikan matlamat kewangan dan pelaburan anda munasabah serta boleh dicapai.