Menyimpan wang di dalam akaun simpanan atau simpanan tetap adalah pelaburan yang paling selamat. Pulangan (iaitu kadar faedah) adalah rendah berbanding pelaburan lain tetapi ianya tanpa risiko. Anda boleh tidur dengan lena tanpa perlu bimbang tentang pelaburan tersebut. Dengan menyimpan wang di dalam akaun simpanan atau simpanan tetap sahaja anda mungkin tidak dapat membina kekayaan secepat yang diinginkan. Sungguhpun pelaburan lain dapat memberi pulangan yang lebih baik, ianya mempunyai risiko yang lebih tinggi, kerana berkemungkinan besar pelaburan tersebut akan nilainya. Sebagai contoh, jika anda melabur wang dalam pasaran saham, anda menghadapi risiko besar untuk kehilangan wang berbanding menyimpannya di dalam akaun simpanan. Harga saham yang turun naik bergantung kepada beberapa faktor. Anda mungkin membeli saham syarikat pada harga RM5 sesaham, tetapi harga tersebut mungkin naik kepada RM 7 ataupun turun kepada RM2.
Apabila melaburkan wang, kita sememangnya mengharapkan pulangan. Kadar pulangan atas pelaburan biasanya dikira dalam peratusan tahunan. Jika membeli saham pada harga RM10 sesaham dan harga tersebut naik kepada RM10.80 selepas setahun, kadar pulangannya ialah 8%. Pulangan sebenar pelaburan adalah selepas menolak segala perbelanjaan yang berkaitan. Sebagai contoh, jika anda membeli rumah dan kemudian menjualnya, anda hanya dapat memastikan pulangan yang diperoleh selepas menolak kos seperti fi guaman, komisen ejen, duti setem dan faedah pinjaman bank.
Ingat: Apabila memilih pelaburan, semakin tinggi pulangannya, semakin tinggi risikonya.