Kepakaran

Kepakaran

Jumaat, 30 November 2012

Kuasa daripada wang anda


MENETAPKAN MATLAMAT KEWANGAN ANDA

Kenapa perkara ini penting?

Dalam permainan bola sepak, objektif pemain adalah untuk memasukkan bola ke dalam gol pasukan lawan. Mereka mengorak langkah demi langkah dan menggunakan pelbagai strategi, demi untuk menjaringkan gol.
Sekarang bolehkah anda bayangkan bermain bola sepak tanpa sebarang objektif?

Bayangkan, semua pemain kegemaran anda berlari-lari di sekeliling padang dengan bola, tanpa sebarang arah tuju, tanpa mencapai apa-apa dan yang paling teruk, tanpa menjaringkan sebarang gol! Permainan tersebut tidak bermakna tanpa sebarang matlamat. Seperti pemain bola sepak, anda juga memerlukan objektif atau matlamat dalam hidup. Matlamat memberi arah tuju yang membantu anda mencapai kehidupan yang diingini. Tanpa matlamat, anda mungkin terjaga daripada tidur suatu hari dan mula sedar bahawa tahun-tahun terbaik dalam hidup anda sudah berlalu dan anda masih belum mencapai apa-apa pun!

Selain menjadi aspek kehidupan harian yang penting, wang juga merupakan alat utama untuk membantu anda mencapai matlamat hidup anda. Anda perlu mengurus wang melalui perancangan kewangan yang teratur. Salah satu langkah dalam proses ini adalah untuk menetapkan matlamat kewangan anda.

Khamis, 29 November 2012

MEMAHAMI NILAI WANG...faham ka???


Nilai masa bagi wang


Bayangkan anda ditawarkan sejumlah wang dan ditanya sama ada anda ingin menerima wang tersebut sekarang ataupun setahun kemudian. Atau fikirkan ini, dengan RM1, apa yang boleh anda beli pada tahun 1990, apa yang boleh anda beli sekarang dan apa yang mampu anda beli pada masa hadapan? Justeru itu, adakah anda memilih untuk menerima wang itu sekarang ataupun pada masa hadapan? 

Soalan ini bukanlah sukar. Sesiapa pun pastinya akan memilih untuk memiliki wang tersebut sekarang. Didorong oleh naluri, anda sedia maklum bahawa wang yang dimiliki sekarang jauh lebih bernilai berbanding wang (jumlah yang sama) pada masa depan. Ini merupakan prinsip penting ekonomi yang menyatakan bahawa selagi wang boleh memperoleh faedah, nilai wang adalah lebih tinggi sebaik sahaja wang tersebut diterima. 

Konsep ini menjelaskan nilai masa bagi wang, yang juga dikenali sebagai ‘nilai kini terdiskaun’. Cuba anda fahami konsep ini. Sekiranya anda mendepositkan wang ke dalam akaun simpanan dengan pulangan kadar faedah 5% setahun, RM1,000 yang disimpan sekarang akan mempunyai nilai RM1,050 dalam tempoh setahun (RM1,000 x 1.05). Manakala, RM1,000 yang diterima setahun dari sekarang hanya bernilai RM 952.38 hari ini. (RM1,000 dibahagi dengan 1.05). 

Di sini, pendaraban digunakan apabila jumlah ringgit didepositkan ke dalam akaun yang memperoleh faedah. Ini adalah kerana dari sekarang sehingga masa hadapan, faedah diperoleh secara berterusan. Pembahagian pula digunakan untuk mewakili kerugian yang dialami sepanjang tempoh jumlah ringgit tidak didepositkan ke dalam akaun simpanan yang memperoleh faedah. Ia adalah semudah itu! 

Daripada gambaran ini, anda dapat perhatikan bahawa wang mempunyai nilai masa. Sekiranya perkara lain tetap sama, nilai semasa sejumlah wang sekarang adalah lebih besar berbanding sejumlah wang yang sama yang diterima pada masa hadapan.

                             

Rabu, 28 November 2012

Anda perlu menabung dari sekarang!


Peringkat kehidupan dan matlamat kewangan

Dalam kehidupan dewasa, anda akan melalui pelbagai peringkat, daripada memulakan kerjaya sehingga bersara, daripada seorang bujang sehingga berkahwin, mempunyai anak dan kadangkala membujang sekali lagi. Dalam pelbagai fasa kehidupan, anda mempunyai keutamaan, tanggungjawab dan matlamat kewangan yang berbeza-beza. 

Setiap peringkat kehidupan anda mengemukakan peluang pelaburan dan cabaran yang berlainan. Disiplin dan ketabahan berperanan penting dalam memelihara strategi kewangan yang boleh dipercayai. Sambil kehidupan anda berubah, demikian juga keperluan dan matlamat anda. Perancangan kewangan yang sempurna membolehkan anda membuat persediaan untuk mencapainya dengan jayanya.

Apabila berusia 20-an, anda akan melihat wang dan membelanjakannya secara berbeza berbanding apabila berusia 50-an. Sebagai contoh, semasa bujang, anda mungkin ingin memiliki wang yang cukup untuk membuat bayaran muka sebuah kereta atau bercuti bersama-sama kawan. Selepas berkahwin, anda mungkin mahu membeli sebuah rumah. Selepas itu, apabila anda mempunyai anak, anda mungkin mahu merancang pendidikan mereka malah juga memulakan tabung persaraan. 

Memandangkan keperluan anda berbeza-beza, keutamaan kewangan anda akan diselaraskan untuk memenuhi keperluan tersebut pada waktu yang berlainan dalam hidup anda. Maka, apa yang anda lakukan dengan wang anda sambil menempuh kehidupan dewasa bergantung pada matlamat kewangan anda. 


Kita akan melihat bagaimana anda mampu mencapai matlamat kewangan anda dalam bab-bab yang berikut dalam buku ini. Walau bagaimanapun, adalah berfaedah untuk ditekankan di sini bahawa untuk mencapai matlamat kewangan, anda perlu menabung dari sekarang!





Selasa, 27 November 2012

Bagus ke..merancang kewangan ni???


Faedah Perancangan Kewangan

Ramai orang menganggap perancangan kewangan sebagai sesuatu yang membebankan serta menghalang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang menyeronokan. Jika anda sentiasa hidup berjimat, sudah tentu anda perlu mengorbankan aktiviti-aktiviti keseronokan sekarang, bukankah begitu? Cuba fikirkan, jika anda perlu berjimat, anda masih boleh memperuntukan wang dengan sedemikian supaya anda mempunyai wang untuk keluar dengan rakan-rakan dan bersuka ria.

Jika anda dapat mengaturkan tabiat perancangan kewangan yang baik, anda boleh memastikan anda mempunyai cukup wang untuk lebih berseronok pada masa depan! 

Dengan pelan kewangan peribadi, anda akan:
• mempunyai lebih kawalan terhadap hal-ehwal kewangan dan berupaya mengelakkan perbelanjaan berlebihan, hutang tidak terurus, kebankrapan atau kebergantungan kepada orang lain.
• mengeratkan lagi hubungan peribadi dengan orang sekeliling anda, seperti keluarga anda, kawan-kawan dan rakan sekerja, kerana anda gembira dengan kehidupan anda dan tidak perlu pinjam-meminjam wang untuk memenuhi keperluan atau mengharapkan sumbangan daripada orang lain;
• bebas daripada kebimbangan kewangan kerana anda telah merancang bagi masa depan, menjangka perbelanjaan dan mencapai matlamat peribadi hidup anda;
• menjadi lebih efektif untuk mendapatkan, menggunakan dan melindungi sumber kewangan anda sepanjang hayat, bukan hanya bagi diri anda malah bagi mereka yang tersayang.

Dengan erti kata lain, apabila anda mempunyai pelan kewangan peribadi yang terurus, anda lebih arif tentang keperluan masa depan dan sumber yang sedia ada. Anda juga mendapat ketenangan kerana mampu mengawal segalanya.

Contoh buku perancangan kewangan yang berada di pasaran.

                

Isnin, 26 November 2012

APA ITU PERANCANGAN KEWANGAN?


Sekiranya anda ingin ke satu destinasi – apa yang perlu anda lakukan?

Berbagai persoalan akan timbul pada diri anda:-

Apakah cara terbaik untuk ke sana?                                                        
Adakah kesesakan lalu lintas?
Adakah lebih baik menaiki LRT atau bas, atau perlukah seseorang membawa saya ke sana?

Ternyata ada banyak pilihan yang boleh anda buat!
Justeru untuk mendapatkan pilihan terbaik, nilailah pilihan-pilihan yang sedia ada. Fikirkan apa yang perlu dan wajar dilakukan, kemudian buatlah keputusan. Langkah-langkah sedemikian merupakan proses yang dikenali sebagai perancangan. 

Perancangan boleh dibuat bagi jangka masa pendek, sederhana mahupun panjang. Begitulah juga dengan perancangan kewangan, Cuma bezanya tempoh perancangan adalah lebih
panjang. Sebaiknya, perancangan anda perlu menjangkau sehingga usia persaraan. Perancangan kewangan melibatkan persoalan-persoalan mengenai masa depan, impian dan matlamat anda. Ini merangkumi apa yang anda mahukan dalam kehidupan, contohnya mendirikan rumah tangga, membeli kereta atau rumah, mendapat cahaya mata dan membiayai pelajaran mereka.

Untuk memenuhi hasrat dan impian ini, anda perlu merancang dari segi kewangan. Dalam perancangan kewangan, anda akan melihat bagaimana perlunya menyediakan bajet atau belanjawan, menabung dan membelanjakan wang anda sepanjang masa.

Langkah-Langkah Dalam Perancangan Kewangan

Terdapat lima langkah penting dalam proses perancangan kewangan:
1. Menilai kedudukan kewangan anda sekarang.
2. Menetapkan matlamat.
3. Menyediakan pelan kewangan.
4. Melaksanakan pelan tersebut.
5. Memantau dan menilai semula.

Ahad, 25 November 2012

Amalkan Pengurusan Kewangan Berhemat Sebagai Budaya Hidup

Credit Counselling And Debt Management Agency atau lebih dikenali sebagai Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan April 2006. Sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, kira-kira 100,000 individu telah mendapatkan khidmat kaunseling dan pengurusan hutang secara percuma di agensi ini. 



Seramai 50 pegawai kaunselor kami dari sebelas lokasi di seluruh negara telah bekerja bersungguh-sungguh untuk membantu peminjam yang mengalami kesukaran untuk mengawal semula kedudukan kewangan mereka.

Lebih 50% daripada mereka yang mendapatkan perkhidmatan kami berumur di bawah 40 tahun. Kebanyakan daripada mereka mengakui bahawa mereka terjerumus dalam masalah kewangan akibat kurangnya kefahaman mengenai asas pendidikan kewangan.

Pernyataan di atas juga terbukti melalui kajian berkumpulan tertumpu yang dijalankan atas graduan muda yang bekerja dalam pelbagai bidang selama satu hingga dua tahun. Mereka bersetuju bahawa pendedahan awal kepada pendidikan kewangan peribadi adalah penting dan yakin dengan pendidikan tersebut, mereka dapat menguruskan hal-hal kewangan mereka dengan lebih sempurna.

Isnin, 19 November 2012

Testimoni Klien - Mengapa saya ambil TAKAFUL?

Testimoni Abang Jafni


Jom join TAKAFUL :)


Saranan

Sistem perlindungan takaful di Malaysia hanya wujud pada awal tahun 80an dengan kewujudan syarikat takaful yang pertama, Takaful Malaysia Berhad. Sebelum itu, umat Islam tiada sebarang alternatif kepada sistem perlindungan melainkan insurans konvensional yang telah difatwakan sebagai haram oleh majlis fatwa.

Dengan wujudnya sistem takaful, umat Islam tiada alasan lagi untuk tidak mendapatkan perlindungan untuk diri dan keluarga. Takaful mampu untuk mengatasi masalah yang sering melanda umat Islam seperti waris miskin selepas kematian ketua keluarga, meminta bantuan dan simpati orang ramai untuk membiayai rawatan perubatan dan masalah-masalah lain yang menjejaskan keadaan masyarakat Islam itu sendiri.

Semalam adalah sejarah, hari ini adalah rahmat dan hari esok adalah sesuatu yang misteri. Kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku kepada kita pada hari esok dan sewajarnya kita bersedia untuk menghadapi segala yang tidak diingini. Lindungi diri anda hari ini dan dapatkan konsultasi dari ejen takaful terdekat anda untuk mendapatkan nasihat dan penerangan mengenai keperluan takaful anda.

Ahad, 18 November 2012

Hibah sebagai alternatif :)

Hibah

Hibah adalah alternatif kepada wasi dalam pembahagian wang pampasan takaful. Hibah merupakan satu bentuk pemberian atau hadiah daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Hibah di dalam konsep takaful dikenali sebagai hibah bersyarat di mana hibah akan dilaksanakan apabila peserta takaful telah meninggal dunia. 

Hibah tidak tertakluk kepada pembahagian secara faraid dan penerima hibah akan mendapat manfaat sepenuhnya wang pampasan yang dihibahkan kepadanya. Jika seorang suami menghibahkan 100% wang pampasan takaful kepada isterinya, maka si isteri tersebut berhak menerima kesemuanya dan pihak-pihak lain tidak boleh mencabar pemberian ini sama ada di mahkamah. 

Berbeza dengan instrumen wasi, si isteri hanya berhak mendapat 1/8 dan perlu dibahagikan mengikut kaedah faraid. Jadi, sebelum anda membuat keputusan pelan takaful dari pengendali takaful mana yang ingin pilih, sila pertimbangkan kaedah perwarisan ini kerana tidak semua pengendali takaful menawarkan hibah sebagai kaedah perwarisan wang pampasan takaful.