Kepakaran

Kepakaran

Rabu, 7 November 2012

Apa tujuan Takaful sebenarnya???

Tujuan Sistem Takaful 

Tujuan sistem takaful adalah untuk perlindungan. Perlindungan di sini merujuk kepada perlindungan dari musibah yang tidak dijangka oleh peserta. 


Musibah utama yang pasti berlaku kepada setiap insan di muka bumi ini ialah kematian. 

Bagi seorang ketua keluarga, kematiannya boleh mengakibatkan sumber rezeki terputus dan waris akan mengalami kesukaran untuk meneruskan kehidupan. Justeru, dengan perlindungan takaful, manfaat kematian yang diperoleh dari pelan takaful boleh dimanfaatkan oleh waris untuk meneruskan kehidupan sementara mencari sumber rezeki yang lain.


Hilang upaya kekal untuk meneruskan kehidupan seperti biasa juga musibah yang sering berlaku ketika ini. 

Hilang upaya kekal boleh terjadi akibat kemalangan dan juga penyakit. Hilang upaya kekal boleh mengakibatkan keupayaan untuk mencari rezeki menjadi terhad dan malah di dalam sesetengah kes, tiada keupayaan langsung untuk bekerja atau mencari rezeki. Jadi, manfaat hilang upaya kekal dari pelan takaful yang diperoleh dalam bentuk kewangan dapat dijadikan sebagai pengganti pendapatan untuk seseorang meneruskan kehidupan dalam keadaan kurang upaya.


Musibah penyakit adalah ancaman kepada keupayaan seseorang untuk hidup sihat dan mampu melakukan aktiviti seharian seperti biasa. Penyakit yang dihadapi juga kadangkala memberi ancaman kepada keadaan kewangan seseorang akibat dari keperluan untuk membiayai kos perubatan yang tinggi.



Ketika ini, hospital kerajaan tidak lagi mampu untuk memberikan rawatan segera kepada pesakitnya memandangkan jumlah pesakit yang semakin hari semakin tinggi dan kebanjiran warga asing yang menggunakan kemudahan hospital kerajaan. Jika berlaku kes-kes kecemasan yang memerlukan rawatan segera, tidak dapat tidak seseorang terpaksa merujuk kepada hospital swasta lebih-lebih lagi jika kes berkaitan hidup dan mati seseorang.


Namun begitu, semua sedia maklum kos rawatan di hospital swasta adalah tinggi dan hanya golongan yang mampu sahaja dapat menggunakan kemudahan swasta ini. 

Ada juga yang dalam keadaaan terdesak terpaksa menggadaikan rumah, tanah, harta benda dan terpaksa berhutang untuk menampung perbelanjaan kos rawatan di hospital swasta. 

Besar kemungkinan mereka yang terdesak sebegini akan mengalami implikasi kewangan yang besar selepas mereka keluar dari hospital nanti.


Penyelesaian

Penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan menyertai skim perlindungan takaful kesihatan seperti kad perubatan, perlindungan penyakit kritikal dan perlindungan kanser.

Mereka yang telah bersiap sedia dengan takaful kesihatan ini pastinya tidak perlu risau kepada soal kewangan jika terpaksa menggunakan kemudahan rawatan swasta kerana segala perbelanjaan hospital dan rawatan akan ditanggung oleh pelan takaful kesihatan yang disertai.

Dengan ini, kesihatan boleh diperoleh di samping tidak menjejaskan keadaan kewangan seseorang.