Kepakaran

Kepakaran

Rabu, 28 November 2012

Anda perlu menabung dari sekarang!


Peringkat kehidupan dan matlamat kewangan

Dalam kehidupan dewasa, anda akan melalui pelbagai peringkat, daripada memulakan kerjaya sehingga bersara, daripada seorang bujang sehingga berkahwin, mempunyai anak dan kadangkala membujang sekali lagi. Dalam pelbagai fasa kehidupan, anda mempunyai keutamaan, tanggungjawab dan matlamat kewangan yang berbeza-beza. 

Setiap peringkat kehidupan anda mengemukakan peluang pelaburan dan cabaran yang berlainan. Disiplin dan ketabahan berperanan penting dalam memelihara strategi kewangan yang boleh dipercayai. Sambil kehidupan anda berubah, demikian juga keperluan dan matlamat anda. Perancangan kewangan yang sempurna membolehkan anda membuat persediaan untuk mencapainya dengan jayanya.

Apabila berusia 20-an, anda akan melihat wang dan membelanjakannya secara berbeza berbanding apabila berusia 50-an. Sebagai contoh, semasa bujang, anda mungkin ingin memiliki wang yang cukup untuk membuat bayaran muka sebuah kereta atau bercuti bersama-sama kawan. Selepas berkahwin, anda mungkin mahu membeli sebuah rumah. Selepas itu, apabila anda mempunyai anak, anda mungkin mahu merancang pendidikan mereka malah juga memulakan tabung persaraan. 

Memandangkan keperluan anda berbeza-beza, keutamaan kewangan anda akan diselaraskan untuk memenuhi keperluan tersebut pada waktu yang berlainan dalam hidup anda. Maka, apa yang anda lakukan dengan wang anda sambil menempuh kehidupan dewasa bergantung pada matlamat kewangan anda. 


Kita akan melihat bagaimana anda mampu mencapai matlamat kewangan anda dalam bab-bab yang berikut dalam buku ini. Walau bagaimanapun, adalah berfaedah untuk ditekankan di sini bahawa untuk mencapai matlamat kewangan, anda perlu menabung dari sekarang!