Kepakaran

Kepakaran

Selasa, 18 Disember 2012

PERBANKAN INTERNET




Bank di Malaysia kini giat menggalakkan pelanggan agar menggunakan internet untuk menjalankan urusan perbankan. Internet atau perbankan dalam talian merujuk kepada urusan transaksi perbankan yang dikendalikan melalui laman web bank yang selamat.

Perbankan Internet membolehkan anda menguruskan kewangan dari rumah, pejabat, semasa atau di luar masa perbankan, atau dari mana-mana lokasi sekalipun selagi adanya akses kepada internet dan pelayar internet. Lazimnya perisian atau perkakasan istimewa tidak diperlukan.

Dengan perbankan Internet, anda boleh:
• menyemak baki akaun dan penyata akaun
• mengemukakan permohonan untuk akaun, kad kredit dan pinjaman baru.
• membuat pelaburan deposit tetap.
• memindah wang antara akaun (akaun milik sendiri atau pihak ketiga).
• membayar bil, kad kredit, pinjaman dan premium insurans.
• membuat, meminda atau membatalkan arahan tetap.
• memohon buku cek dan penyata akaun bank.
• menyemak status cek.
• memohon arahan menghentikan pembayaran cek.
• memohon Draf Bank dan Pemindahan Telegraf.

Anda boleh mendaftar untuk urusan perbankan Internet dengan bank yang menawarkan perkhidmatan bagi akaun bank yang sedia ada, seperti akaun simpanan, akaun semasa, kad kredit dan pinjaman. Terdapat juga bank yang menawarkan akaun khas untuk kemudahan perbankan Internet kepada pelanggan lama dan baru mereka.

Pastikan ciri-ciri akaun khas ini sesuai bagi anda dan jangan tertarik dengan tawaran istimewa yang mungkin tidak relevan kepada keperluan anda. Dapatkan tawaran yang terbaik. Anda boleh melayari laman web BNM untuk menyemak senarai bank yang menawarkan perbankan Internet. Buat masa sekarang, langganan bagi perkhidmatan perbankan Internet adalah percuma, walaupun ini bergantung kepada bank yang menyediakan perkhidmatan tersebut. Fi mungkin dikenakan bagi sesetengah perkhidmatan seperti pemindahan wang antara bank, pemindahan telegraf dan permohonan buku cek. Semak dengan bank anda tentang fi yang dikenakan. Bank mungkin menawarkan fi yang lebih kompetitif apabila menggunakan khidmat Internet untuk menjalankan aktiviti perbankan berbanding saluran lain seperti perkhidmatan di kaunter cawangannya.