Menyediakan bajet perbelanjaan peribadi anda bukan merupakan proses terakhir. Anda perlu memantau perbelanjaan sebenar setiap hari, terutamanya untuk menentukan kegunaan wang anda. Dalam erti kata lain, ini adalah pengurusan aliran tunai - aliran masuk dan keluar yang sebenarnya bagi jangka masa tertentu.
Jika anda mempunyai lebihan wang tunai, anda sememangnya hebat! Masukkan wang lebihan ini ke dalam simpanan anda. Walau bagaimanapun, jika terdapat defisit tunai, kaji semula cara perbelanjaan anda. Cuba tangguhkan apa-apa pembelian atau bayaran buat sementara waktu dan elak daripada menggunakan dana kecemasan kecuali jika benar-benar perlu. Sekiranya anda terpaksa menggunakan kad kredit, pastikan ini merupakan pilihan terakhir kerana bayaran kad kredit hanya menambahkan lagi perbelanjaan bagi beberapa bulan yang akan datang.
Apabila menyediakan bajet belanjawan bagi bulan hadapan, pastikan anda mengambil kira baki bulan lepas.
Pastikan anda sentiasa mengkaji dan menyemak semula kedua-dua bajet dan perbelanjaan. Jika anda ingin mengurangkan perbelanjaan, kaji semula perbelanjaan yang tidak perlu atau mana yang boleh dikurangkan. Cara terbaik adalah dengan meninjau peruntukan perbelanjaan bagi makanan dan hiburan. Anda mungkin terpaksa mengubah matlamat kewangan sekiranya sesetengah perbelanjaan ini tidak realistik berbanding pendapatan bulanan anda.
• Penyata kira-kira peribadi memberi gambaran nilai harta bersih.
• Bajet mengenal pasti pendapatan yang dirancang, simpanan dan perbelanjaan untuk
mencapai matlamat kewangan anda.
• Penyata aliran tunai mengenal pasti apa yang diperoleh dan apa yang dibelanjakan dalam
bentuk tunai bagi tempoh tertentu.