Mengetahui nilai harta bersih anda
Nilai harta bersih adalah jumlah aset tolak jumlah liabiliti.
Anda mempunyai nilai harta bersih yang positif jika apa yang anda miliki lebih daripada hutang anda. Sekiranya ini berlaku, tahniah!
Ini bermakna anda mempunyai kedudukan kewangan yang sihat.
Walau bagaimanapun, mempunyai nilai harta bersih yang tinggi tidak memberi jaminan bahawa anda tidak akan menghadapi kesulitan kewangan. Anda boleh mencatatkan nilai harta bersih yang tinggi tetapi masih mengalami kesukaran. Jadi bagaimana keadaan sedemikian boleh berlaku? Apabila memiliki aset tidak mudah cair (mudah ditukar kepada wang tunai) maka masalah mungkin timbul pada masa hadapan.
Kita boleh membuat kesimpulan mudah bahawa mempunyai keadaan kewangan yang baik bermakna memiliki portfolio aset yang seimbang supaya anda tidak kehabisan wang tunai pada bila-bila masa. Dengan itu anda boleh menjamin bahawa kebebasan kewangan adalah dalam genggaman anda. Apabila hutang anda melebihi apa yang dimiliki, nilai harta bersih anda adalah negatif. Dalam keadaan sedemikian, anda mungkin tidak mampu membayar hutang apabila sampai tempohnya kerana anda tidak mempunyai wang atau aset yang boleh ditukar dengan mudah kepada wang tunai. Anda mengalami masalah kewangan dan mungkin diisytihar muflis.
Nilai harta bersih memberi petunjuk tentang kedudukan kewangan anda pada sesuatu masa. Jangan senaraikan butiran bukan tunai sebagai tunai kerana item tersebut mungkin tidak mudah untuk dijual.