Kepakaran

Kepakaran

Isnin, 24 Disember 2012

Jangan letakkan semua telur di dalam satu bakul

                           


Apakah akan terjadi apabila seseorang itu meletakkan semua telur di dalam satu bakul dan bakul itu terjatuh? Kemungkinan besar semua telur akan pecah. Seperti juga dengan pelaburan anda, jangan melaburkan wang anda dalam satu jenis pelaburan sahaja. Jika apa-apa berlaku kepada pelaburan tersebut, semua wang itu akan hilang. Adalah penting untuk mempelbagaikan pelaburan anda.

Meletakkan wang anda dalam pelbagai pelaburan merupakan tindakan yang bijak. Dalam erti kata lain, buat perancangan untuk pelaburan yang seimbang. Melabur dalam pelbagai pelaburan adalah kunci untuk mengurangkan risiko. Apabila berbuat sedemikian, anda berkemungkinan memperoleh manfaat daripada pelaburan tersebut sambil mengurangkan risiko kehilangan wang anda.

Cara anda melabur bergantung kepada profil pelaburan,iaitu sama ada anda seorang pelabur yang agresif, sederhana ataupun konservatif. Kebanyakan orang berada di pertengahan profil tersebut. Jika anda merupakan pelabur yang sederhana, mungkin sebahagian besar daripada wang anda berada dalam kelas aset yang berlainan seperti dana amanah saham dan bakinya pula dalam pelaburan pendapatan tetap seperti simpanan tetap. Jumlah yang diagihkan kepada kelas aset boleh dibahagikan lagi kepada segmen berlainan seperti bon dan dana ekuiti. 

Sekiranya anda pelabur yang agresif, anda mungkin akan melabur dalam pelaburan yang lebih aktif seperti pasaran saham. Tetapi sebaliknya, jika anda adalah pelabur yang konservatif, anda mungkin mempelbagaikan pelaburan anda dalam pelaburan yang kurang agresif seperti bon dan simpanan tetap. Tiada dua pelabur yang bersependapat! Cuma anda seorang sahaja yang boleh membuat keputusan tentang pilihan yang bersesuaian serta berapa banyak wang simpanan yang akan dilaburkan dalam pelbagai jenis pelaburan yang terdapat di pasaran.