Kepakaran

Kepakaran

Khamis, 31 Januari 2013

Kad caj adalah seperti kad kredit


                                       

Kad caj adalah seperti kad kredit. Untuk kad kredit, anda boleh membuat pembayaran minimum setelah menerima penyata bil bulanan, tetapi tidak bagi kad caj. Dengan kad caj, anda mestilah membayar jumlah sepenuhnya setiap bulan mengikut penyata yang dihantar, jika tidak, caj bayaran lewat akan dikenakan.

Kad debit pula lebih menyerupai kad ATM, kecuali anda tidak perlu mengeluarkan wang tunai dari mesin ATM anda. Anda boleh menggunakan kad debit di tempat yang menerima kad tersebut. Jumlah yang dicajkan akan ditolak serta-merta daripada akaun bank anda. Seperti juga kad kredit, adalah mudah menggunakan kad debit kerana anda tidak perlu membawa wang tunai bersama anda.

Kad prabayar pula boleh digunakan untuk membuat belian tetapi terhad kepada jumlah wang yang anda masukkan dalam kad tersebut. Ianya seperti kad prabayar telefon atau kad Touch & Go, di mana anda mempunyai wang yang terhad untuk dibelanjakan. Apabila jumlah yang dimasukkan berkurangan, anda boleh menambah semula jumlahnya ke had maksimum yang telah ditetapkan oleh pengeluar kad berkenaan. Kad debit dan kad prabayar adalah pilihan yang lebih sesuai bagi mereka yang kurang berdisiplin dalam soal kewangan.

Lazimnya, had kad kredit adalah 2-3 kali ganda gaji bulanan anda. Sekiranya anda menggunakan had maksimum, anda harus ingat bahawa anda telah membelanjakan 2-3 gaji bulanan anda yang akan datang.