Kepakaran
Sabtu, 26 Januari 2013
Skim bayaran perumahan
Pinjaman perumahan boleh dibayar melalui cara-cara berikut:
Skim bayaran berperingkat: Kaedah ini membolehkan anda mengurangkan beban pembayaran pada peringkat awal pinjaman. Bayaran ansuran meningkat apabila kemampuan peminjam meningkat. Kaedah ini berguna apabila anda baru sahaja mendapatkan pekerjaan dan gaji anda dijangka meningkat dari tahun ke tahun.
Pembayaran awal pinjaman: Anda boleh memendekkan tempoh pinjaman dengan membuat pembayaran awal bagi sebahagian daripada baki pinjaman melalui lebihan wang tabungan atau bonus tahunan. Jika dibuat pada tahun-tahun awal pinjaman, anda dapat mengurangkan caj faedah yang dikenakan. Walau bagaimanapun, sesetengah institusi kewanganmenghadkan jumlah yang boleh dibuat bagi pembayaran awal. Jumlah pokok sesuatu pinjaman akan berkurangan setiap kali bayaran ansuran dibuat.
Sebagai peminjam, anda hendaklah:
• Membaca dan memahami keseluruhan terma dan syarat pinjaman.
• Sentiasa mematuhi terma dan syarat yang telah ditetapkan.
• Bertanya mengenai semua aspek pinjaman sehingga anda berpuas hati.
• Membuat bayaran ansuran mengikut jadual.
• Pastikan anda mendapat maklumat yang tepat mengenai pinjaman anda.
Sepertimana pinjaman yang lain, sekiranya anda gagal membuat bayaran, institusi kewangan berkenaan berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap anda agar mendapatkan semula pinjaman tersebut.