LAGI MENGENAI INSURANS
Sama ada anda ingin membeli insurans konvensional ataupun takaful, anda seharusnya mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai produk yang terdapat di pasaran sebelum membuat sebarang keputusan. Pastikan anda memperoleh polisi insurans yang menepati keperluan gaya hidup anda!
Anda perlu mengetahui perkara berikut:
• jenis-jenis polisi dan pelan yang dijual, khususnya ciriciri produk dan manfaatnya.
• bahaya dan risiko yang dilindungi.
• terma dan syarat, termasuklah keadaan prasyarat dan pengecualian (yang tidak dilindungi).
• jumlah premium atau caruman yang dibuat berpatutan dengan jumlah dan tempoh perlindungan, serta merangkumi risiko yang bersesuaian.
• keadaan yang membolehkan anda membuat tuntutan dan cara membuat tuntutan.
Semua insurans hayat dan insurans am mempunyai dokumen sah yang disebut polisi insurans atau sijil insurans yang menyatakan semua terma dan syarat antara anda dan syarikat insurans. Bagi insurans hayat, jumlah premium biasanya bergantung kepada pelbagai faktor, terutamanya umur dan tahap kesihatan.
Semakin tinggi usia anda, semakin tinggi premium yang perlu dibayar, sejajar dengan risiko insurans yang meningkat. Pembayaran premium biasanya dibuat atas nama syarikat insurans dan bukan kepada ejen insurans. Pastikan anda membeli insurans yang memberi perlindungan yang menepati keperluan peribadi anda.