Kepakaran

Kepakaran

Jumaat, 25 Januari 2013

Pinjaman perumahan


Pasaran untuk pinjaman perumahan adalah amat kompetitif dan institusi kewangan kini menawarkan pelbagai jenis pinjaman untuk menarik pelanggan. Terdapat juga pinjaman yang menawarkan hadiah-hadiah percuma untuk dipakejkan bersama pinjaman perumahan tersebut. Buatlah perbandingan dan dapatkan sebanyak mungkin maklumat seperti kadar faedah yang ditawarkan sebelum menentukan pinjaman yang sesuai bagi anda. Seperti produk pinjaman lain, anda boleh memilih antara pinjaman perumahan konvensional atau
perbankan Islam.
                             
                              

Pinjaman perumahan merupakan suatu komitmen kewangan yang sangat besar serta memakan masa yang panjang untuk dijelaskan. Pertimbangkan dengan teliti semua aspek pinjaman sebelum membuat sebarang keputusan dan antaranya:
• Adakah pinjaman tersebut untuk membeli rumah yang telah siap atau yang masih dalam binaan? Adakah anda akan membeli tanah untuk membina rumah?
• Berapakah nilai rumah atau tanah yang ingin anda beli? Berapakah ansuran yang mampu anda bayar setiap bulan, bergantung kepada aliran tunai bulanan anda?
• Adakah anda mempunyai cukup wang untuk membuat bayaran pendahuluan dan alirantunai yang memadai untuk bayaran ansuran seterusnya?
• Apakah fi berkaitan atau kos lain yang perlu dibayar? Contohnya fi guaman, duti setem, fi pemprosesan dan fi pembayaran.
• Adakah kadar faedah tetap atau kadar faedah berubah selaras dengan perubahan pada kadar pemberian pinjaman asas (BLR - Base Lending Rates)?
• Adakah bayaran pinjaman anda fleksibel? Terdapat beberapa jenis skim pembayaran fleksibel yang ditawarkan. Buat semakan.
• Adakah dikenakan apa-apa penalti sekiranya anda membuat bayaran balik keseluruhan pinjaman lebih awal daripada tempoh yang dipersetujui?

Institusi kewangan biasanya mengenakan penalti sebegini kerana mereka telah menawarkan pakej yang menarik bagi pinjaman perumahan anda. Adakah kadar faedah yang tetap ataupun yang berubah-ubah lebih baik bagi pinjaman anda?

Dengan kadar pinjaman tetap, faedahnya tetap dan anda sedia maklum tentang jumlah ansuran yang perlu dibayar. Manakala bagi kadar yang berubahubah, faedahnya berubah mengikut perubahan pada kadar pemberian pinjaman asas (BLR). Jika kadar tersebut meningkat, maka kadar faedah yang dikenakan akan meningkat dan begitu juga dengan bayaran ansuran bulanan anda. Bagaimanapun, sekiranya kadar pemberian pinjaman asas (BLR) menurun, maka anda akan menikmati manfaatnya kerana bayaran bulanan anda juga akan menurun. Terdapat juga kadar pinjaman faedah yang berubahubah tetapi bayaran ansuran bulanannya adalah tetap. Sekiranya berlaku perubahan pada kadar faedah, maka yang berubah hanyalah tempoh masa pembayaran pinjaman sama ada mengurang ataupun bertambah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan