Kepakaran

Kepakaran

Sabtu, 5 Januari 2013

Insurans am


                                  
Insurans am merupakan polisi insurans yang melindungi anda daripada apa apa kerugian yang disebabkan kecurian atau kerosakan atas barangan peribadi anda. Ia juga melindungi liabiliti yang timbul akibat kerosakan kepada barangan pihak ketiga yang disebabkan oleh kecuaian anda. Selain itu kematian akibat kemalangan atau kecederaan kepada pihak ketiga yang melibatkan pembiayaan hospital juga dilindungi. Lazimnya, tempoh perlindungan untuk kebanyakan polisi dan pelan insurans am adalah setahun dan pembayaran premium perlu dibuat sekali gus.

Produk utama insurans am termasuklah:

Kenderaan : Melindungi kenderaan anda daripada risiko kecurian, kemalangan atau kebakaran. Sekiranya anda membeli perlindungan pihak ketiga, anda dilindungi daripada tuntutan yang dibuat oleh pihak ketiga bagi kecederaan atau kematian orang lain (pihak ketiga) termasuklah kerugian atau kerosakan kepada harta pihak ketiga disebabkan oleh kenderaan anda. Jika anda membeli perlindungan komprehensif, anda akan mendapat perlindungan menyeluruh iaitu perlindungan bagi kecederaan dan kematian pihak ketiga, kehilangan dan kerosakan harta pihak ketiga, dan juga kerugian dan kerosakan bagi kenderaan anda sendiri disebabkan kemalangan, kebakaran atau kecurian.

Kediaman : Polisi kebakaran asas memberi perlindungan hanya bagi bangunan akibat kebakaran, kilat atau letupan. Polisi pemilik rumah pula memberi perlindungan tambahan atas bangunan untuk meliputi sebarang kerugian atau kerosakan akibat banjir, paip pecah dan lain-lain bencana. Manakala polisi isi rumah, adalah untuk melindungi barang-barang isi rumah anda seperti perabot, dilindungi daripada kecurian, banjir dan kebakaran. Polisi ini tidak memberi perlindungan terhadap kerosakkan rumah itu sendiri.

Perjalanan : Perlu dibeli sekiranya anda bercadang ke luar negara. Ia melindungi anda daripada insiden yang berkaitan dengan perjalanan seperti kelewatan perjalanan, kemalangan diri, kehilangan bagasi, belanja perubatan dan lain-lain perbelanjaan.

Barangan peribadi : Melindungi barangan peribadi anda seperti komputer, telefon bimbit, dan kamera daripada kehilangan atau kecurian. Sebelum memilih mana-mana polisi insurans, pastikan anda menyemak bahaya dan risiko yang dilindungi oleh polisi tersebut memandangkan setiap perlindungan yang ditawarkan oleh syarikatsyarikat insurans biasanya berbeza-beza.