Kepakaran

Kepakaran

Khamis, 24 Januari 2013

Asas Sewa Beli


                               

Deposit minimum: Deposit minimum ialah 10% daripada harga tunai kenderaan. Walau bagaimanapun, bank boleh menetapkan jumlah pendahuluan yang lebih tinggi. 

Kadar faedah: Adalah mengikut kadar tetap dan kadar maksimum yang dibenarkan ialah 10%. Kadar faedah efektif: Merupakan faedah sebenar yang perlu dibayar setelah mengambil kira faedah kompaun tahunan mengikut tempoh pinjaman.

Caj bayaran lewat: Anda akan dikenakan denda sekiranya anda lewat membuat bayaran ansuran. Faedah dikenakan mengikut kadar asas harian.

Penjamin: Institusi kewangan mungkin memerlukan penjamin yang akan bertanggung jawab untuk membayar balik pinjaman atau bakinya sekiranya peminjam tidak mampu menjelaskan hutang tersebut.

Insurans: Anda perlu membeli insurans untuk melindungi kenderaan anda. Institusi kewangan menghendaki tuan punya kenderaan membeli polisi insurans yang komprehensif.

Penarikan balik: Jika anda ingkar dalam membuat bayaran, institusi kewangan berhak menarik balik kenderaan anda kerana mereka adalah pemilik sah kenderaan tersebut sepanjang tempoh pinjaman. Apabila bayaran tidak dibuat mengikut jadual, institusi kewangan boleh menarik balik kenderaan dengan melantik penarik yang berdaftar. Penarikan balik kenderaan anda akan mendatangkan pengalaman yang mengejutkan lagi memalukan. Sebelum menarik balik kenderaan, penarik mestilah menunjukkan kad pengenalannya, kad kuasa dan surat arahan penarikan balik yang dikeluarkan oleh institusi kewangan yang berkenaan. Penarik mestilah membuat laporan polis dan kemudiannya membawa kereta yang ditarik ke tempat yang telah
diarahkan oleh institusi kewangan. Anda akan menerima notis bertulis yang dikenali sebagai Notis Jadual Keempat sebelum kenderaan anda ditarik balik. Notis ini akan luput dalam masa 21 hari dan notis kedua pula akan dikeluarkan 14 hari selepas tarikh notis Jadual Keempat diserahkan – ini merupakan peringatan bagi anda membuat bayaran tertunggak atau kenderaan anda akan ditarik balik. Untuk mengelak penarikan balik kenderaan, anda perlu membuat bayaran tertunggak atau memulangkan kenderaan tersebut kepada institusi kewangan sebelum tarikh luput. Bagaimanapun anda masih perlu menjelaskan baki hutang selepas ditolak nilai kenderaan tersebut. Masih ada cara lain untuk mendapatkan kembali kenderaan anda yang telah ditarik balik. Institusi kewangan akan memberi penjamin dan anda Notis Jadual Kelima dalam masa 21 hari selepas penarikan supaya anda dapat membayar balik jumlah hutang yang tertunggak. Sekiranya anda menjelaskan semua jumlah yang tertunggak dan perbelanjaan berkaitan yang ditanggung oleh institusi kewangan, maka bolehlah anda meminta agar kenderaan tersebut dipulangkan. Sebagai alternatif, anda boleh memperkenalkan anggota keluarga atau kawan untuk membeli kenderaan anda pada harga yang telah ditetapkan dalam Jadual Kelima. Sekiranya anda atau penjamin tidak menjelaskan jumlah yang tertunggak pada Jadual Kelima dalam tempoh 21 hari, institusi kewangan berhak menjual kenderaan tersebut melalui lelongan awam atau menawarkan semula kepada anda untuk membeli kenderaan tersebut pada harga
yang lebih rendah berbanding harga anggaran yang ditetapkan dalam notis Jadual Kelima.