Kepakaran
Jumaat, 4 Januari 2013
JENIS-JENIS INSURANS
Insurans hayat
Insurans hayat adalah perlindungan yang membayar sejumlah wang kepada pemegang polisisekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingini kepada pemegang polisi seperti kematian, penyakit, kehilangan upaya dan pembiayaan rawatan hospital. Amatlah penting untuk memiliki insurans terutamanya jika anak atau ibu bapa anda yang telah tua bergantung hidup pada anda. Lazimnya, tempoh perlindungan insurans hayat adalah lebih daripada setahun dan anda mempunyai pilihan untuk membuat bayaran premium secara berkala, sama ada setiap bulan, suku tahun, setengah tahun atau setiap tahun.
Produk utama insurans hayat termasuklah;
Insurans hayat seumur hidup: Polisi ini menawarkan perlindungan sepanjang hayat dan premiumnya dibayar seumur hidup anda. Wang manfaatnya, termasuklah bonus jika ada, akan dibayar setelah sesuatu kematian atau kehilangan upaya yang menyeluruh dan kekal dialami atau penyakit kritikal dihidapi. Biasanya, premium bagi insurans sedemikian lebih tinggi berbanding insurans bertempoh. Ia juga mempunyai nilai tunai sepanjang tempoh polisi tersebut berkuat kuasa.
Insurans bertempoh: Polisi ini menawarkan perlindungan insurans bagi tempoh terhad sahaja. Wang manfaat dibayar hanya setelah suatu kematian atau sekiranya pemegang polisi mengalami kehilangan upaya yang menyeluruh dan kekal atau menghidap penyakit kritikal semasa tempoh masa polisi berkuat kuasa. Bayaran yang diterima adalah mengikut jumlah yang dipersetujui semasa polisi tersebut dibeli.
Insurans endowmen: Polisi ini menggabungkan perlindungan dan juga simpanan. Ia menyediakan manfaat tunai pada akhir suatu tempoh tertentu atau atas kematian atau kehilangan upaya yang menyeluruh dan kekal. Tempoh polisi ditentukan oleh pembeli. Insurans berkaitan pelaburan: Menggabungkan pelaburan dan perlindungan. Anda boleh memilih jenis dan jumlah pelaburan yang anda inginkan serta jumlah perlindungan insuran hayat yang ingin dimiliki. Jumlah premium adalah fleksibel.
Insurans perubatan dan kesihatan: Polisi yang melindungi kos rawatan perubatan seperti kos rawatan hospital dan kos pembedahan.
Insurans bertempoh gadai janji berkurangan (MRTA): Perlindungan insurans yang meliputi pembayaran balik pinjaman pembelian hartanah tertunggak kepada institusi kewangan sekiranya berlaku kematian, kehilangan upaya atau mengalami penyakit kritikal. Institusi kewangan tersebut akan melepaskan hak milik hartanah kepada anda atau waris anda. Premium cuma dibayar sekali sahaja.