Kepakaran
Rabu, 2 Januari 2013
MERANCANG BAGI KEADAAN DI LUAR DUGAAN
MENGAPA ANDA PERLUKAN INSURANS
Apakah itu insurans?
Apabila anda membuat apa-apa komitmen kewangan, seperti membeli rumah melalui pinjaman bank, anda telah (locked) sebahagian daripada pendapatan masa depan anda bagi pembayaran balik pinjaman tersebut. Sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti kematian atau kehilangan upaya, atau bencana ekonomi (pemberhentian kerja), keupayaan anda untuk memenuhi komitmen kewangan tersebut akan terganggu dan berkemungkinan besar anda kehilangan aset yang sedia ada!
Terdapat satu instrumen kewangan yang boleh diperoleh untuk melindungi anda daripada apa-apa kemungkinan tersebut - ia adalah insurans. Insurans merupakan suatu cara melindungi diri anda, keluarga dan harta benda anda sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.
Tujuan mendapatkan insurans
Di samping menawarkan perlindungan, insurans juga memberikan anda ketenangan fikiran. Bayaran yang dibuat bagi insurans membolehkan anda:
• membayar ganti rugi bagi barangan peribadi atau mendapat gantian barangan yang telah dicuri (sekiranya barangan tersebut diinsuranskan).
• membayar bil perubatan apabila anda atau keluarga menerima rawatan di hospital.
• menyelenggara perbelanjaan bulanan, hutang dan komitmen kewangan apabila anda tidak lagi berupaya bekerja disebabkan oleh penyakit kritikal atau kemalangan.
• menyediakan bantuan kewangan bagi keluarga anda sekiranya ditakdirkan anda kehilangan upaya, mengalami penyakit kritikal atau meninggal dunia, terutamanya jika anda pencari nafkah utama.