Sebagaimana sistem perbankan di mana anda boleh memilih mendapatkan produk-produk dan perkhidmatan perbankan Islam dan perbankan konvensional, begitulah juga dengan industri insurans di Malaysia dengan adanya insurans konvensional dan insurans Islam atau lebih dikenali sebagai takaful.
Takaful adalah pelan perlindungan berdasarkan prinsip Syariah. Dengan mencarum sejumlah wang ke dalam dana takaful dalam bentuk caruman penyertaan, anda memeterai kontrak (aqad) untuk membolehkan anda menjadi peserta yang saling membantu antara satu sama lain, sekiranya salah seorang peserta mengalami kerugian tertentu.
Kedua-dua insurans konvensional dan takaful mempunyai prinsip asas yang sama. Sebagai contoh, anda mestilah mempunyai kepentingan yang sah terhadap harta benda atau hayat yang diinsuranskan. Ini bermakna, anda akan menanggung kerugian kewangan sekiranya berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini atas harta benda atau hayat tersebut.