Kepakaran

Kepakaran

Khamis, 17 Januari 2013

PINJAMAN DAN KREDIT


                               
Apabila anda membuat pinjaman atau menggunakan kad kredit, tanya diri anda soalan berikut:

• Adakah produk atau perkhidmatan yang anda inginkan itu penting? Adakah ia benar-benar perlu?

• Sekiranya ia penting dan diperlukan, mampukah anda untuk membuat bayaran ansurannya?

• Jika ianya melibatkan pembelian besar, seperti kereta atau rumah, mampukah anda menyediakan wang pendahuluan yang besar?

• Jika ianya sesuatu yang anda ingini, bolehkah anda mengawal perasaan dan menangguhkan pembelian tersebut kerana ia tidak penting?

• Jika anda membuat pinjaman atau menggunakan kad kredit untuk membeli sesuatu, sudahkah anda mengkaji aliran tunai anda sama ada ia dapat menampung pinjaman tersebut ataupun tidak?

• Adakah anda sedia maklum tentang kos yang dikenakan sekiranya kad kredit digunakan? Bukan saja kos faedah, malah caj-caj kewangan dan caj lewat bayar perlu diambil kira.

• Adakah anda memahami akibat kegagalan membayar balik pinjaman? Jika gagal berbuat demikian, prosiding boleh diambil terhadap anda dan anda mungkin diisytiharkan muflis. Perlu diingatkan, sekiranya anda tidak mampu menambahkan pendapatan, anda perlu berkorban sesuatu untuk membolehkan anda membuat bayaran pinjaman bulanan. Adakah anda bersedia untuk berkorban? Sebagai contoh, sanggupkah anda melepaskan keseronokan pada hujung minggu semata-mata untuk membuat bayaran untuk pinjaman dan hutang kad kredit anda? Walaupun anda berhati-hati dalam menguruskan aliran tunai bulanan anda bagi bayaran pinjaman dan hutang kad kredit, namun kejadian atau keadaan yang tidak diduga mungkin berlaku dan anda akan memerlukan wang tambahan. Adakah anda masih mampu menghadapi komitmen bulanan
sekiranya perkara tersebut berlaku? Oleh itu, amatlah penting agar anda tidak membuat pinjaman dan menggunakan kad kredit secara berlebihan. Sebagai panduan am, pastikan jumlah bayaran bulanan pinjaman dan kad kredit tidak melebihi satu pertiga daripada gaji kasar anda.