Wang merupakan isu yang sensitif, dan oleh sebab itu, ramai pasangan mengharungi alam perkahwinan tanpa berbincang antara satu sama lain secara terbuka mengenainya. Adalah sangat penting bagi anda serta pasangan bersetuju dalam perkara yang melibatkan kewangan (andaian yang dibuat adalah anda berdua bekerja) :
• Perancangan kewangan anda sepatutnya beralih daripada perancangan individu kepada perancangan bersama pasangan.
• Buat keputusan bagaimana menangani bil rutin, perbelanjaan untuk keluarga dan anak, bajet isi rumah, termasuk simpanan dan juga pelaburan.
• Untuk membuat bayaran bagi perbelanjaan bersama, simpan duit di dalam akaun bersama setiap bulan. Kaji semula perbelanjaan ini sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk melihat sama ada perbelanjaan ini bertambah kerana inflasi ataupun gaya hidup anda yang baru.
• Jika anda berdua membuat keputusan untuk menggunakan kad kredit untuk perbelanjaan bersama, pastikan pasangan yang menggunakan kad kredit mempunyai akses kepada akaun bersama untuk memudahkan pembayaran kad kredit.
• Sepertimana perancangan semasa anda bujang, anda perlu menyediakan dana kecemasan untuk menghadapi perbelanjaan di luar dugaan yang mungkin membebankan anda, pasangan atau keluarga anda.
• Bincang tentang cara pelaburan anda dan pasangan termasuk jenis risiko dan kecenderungannya. Adalah bijak untuk mempunyai portfolio pelaburan yang serupa bagi memenuhi matlamat kewangan anda seperti persaraan bersama dan hidup dalam keselesaan. Pelaburan ini juga adalah untuk menanggung pembiayaan pengajian dan kos sara hidup anak anda nanti.