Kepakaran

Kepakaran

Isnin, 4 Februari 2013

PEMBAYARAN BALIK DAN INGKAR


Pembayar balik pinjaman yang baik adalah orang yang membuat bayaran pinjaman tepat pada waktunya dengan jumlah yang dipersetujui mengikut terma dan syarat, seperti ditetapkan dalam perjanjian pinjaman.

                      

Biro Kredit

Biro Kredit Bank Negara Malaysia telah beroperasi semenjak tahun 1982. Berperanan untuk mengumpul maklumat kredit berkenaan peminjam individu, perniagaan (perkongsian dan perseorangan), syarikat dan entiti kerajaan, seterusnya menyalurkan kembali maklumat terkumpul ini kepada institusi kewangan.

Biro Kredit akan menyimpan maklumat kredit dalam sebuah sistem pangkalan data berkomputer yang dikenali sebagai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (Central Credit Reference Information System - CCRIS). CCRIS akan mengumpul dan memproses maklumat tersebut menjadi laporan kredit yang boleh diguna pakai oleh mana-mana institusi untuk menilai pinjaman anda.

Setiap kali anda membuat permohonan bagi pinjaman baru, institusi kewangan berkenaan akan menyemak sejarah bayaran yang pernah anda buat melalui Biro Kredit. Mereka akan menggunakan maklumat tersebut untuk memutuskan sama ada untuk memberikan anda pinjaman ataupun tidak. Selain daripada Biro Kredit, terdapat juga syarikat milik persendirian yang memberikan maklumat kepada pelanggan mereka dan institusi kewangan berkaitan rekod bayaran balik pinjaman dan juga status sebarang tindakan undang-undang terhadap peminjam, sekiranya ada.

Sila simpan satu salinan laporan CCRIS untuk membolehkan anda memantau pinjaman serta mengawal pola pembayaran kad kredit anda. Anda boleh menyemak sama ada anda mempunyai jadual pembayaran balik yang terurus ataupun tidak. Sekiranya laporan CCRIS menunjukkan yang anda gagal atau selalu lewat membuat bayaran, institusi kewangan mempunyai pilihan untuk menolak permohonan pinjaman anda kerana laporan tadi memberikan gambaran bahawa anda tidak menguruskan pinjaman dengan baik atau anda sebenarnya menghadapi kemelut kewangan.

Sekiranya anda pembayar balik pinjaman yang baik, laporan kredit juga akan menunjukkan sedemikian. Mulai 1 Julai 2008, anda menerima ganjaran sekiranya anda menjelaskan bayaran kad kredit dengan segera, di mana institusi kewangan akan mengenakan caj kewangan mengikut asas bertingkat, bergantung kepada pembayaran balik yang dibuat. 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari http://creditbureau.bnm.gov.my