Soalan paling penting yang patut ditanya apabila membeli rumah ialah adakah anda mampu membelinya?
Seperti kebanyakan orang, anda juga akan membuat pinjaman perumahan. Proses membuat pinjaman perumahan adalah rumit dan anda perlu meneliti kedudukan kewangan anda, iaitu pendapatan, simpanan dan tunai di tangan. Anda harus jujur tentang tabiat perbelanjaan anda yang lepas, keinginan semasa dan kebolehan untuk mendapatkan pinjaman serta membuat bayaran. Anda perlu juga menghitung nisbah hutang-kepada-pendapatan anda.
Buat tinjauan masa hadapan dari segi kemungkinan kenaikan pendapatan dan wang yang diperlukan untuk menyelenggarakan rumah atau mengubahsuainya pada masa akan datang. Ini boleh menjejas kemampuan anda apabila membeli rumah. Terdapat banyak jenis pinjaman perumahan yang ditawarkan, jadi pastikan anda mendapat yang terbaik agar dapat memenuhi komitmen kewangan anda. Simpan wang yang cukup dan cuba bayar lebih 10% daripada harga pembelian sebagai wang pendahuluan untuk mengelak pinjaman perumahan yang berlebihan.
Anda juga perlu menyediakan wang yang cukup bagi perbelanjaan seperti fi guaman, duti setem dan insurans. Anda mesti berkemampuan untuk membeli dan membayar ansuran rumah anda. Jika keadaan adalah sebaliknya, rumah impian anda akan berubah menjadi mimpi yang ngeri!