Kepakaran

Kepakaran

Khamis, 21 Februari 2013

Jadi….anda ingin menjadi tuan rumah


Melabur dalam hartanah merupakan pelaburan kukuh yang membolehkan anda membina kekayaan. Oleh sebab ini melibatkan wang dan masa, jadikannya sebagai strategi pelaburan yang menyeluruh. Berikut adalah beberapa soalan yang perlu ditanya:

• Pelaburan dalam jenis hartanah apa yang boleh meningkatkan nilai kewangan saya?
• Oleh sebab hartanah tidak mempunyai kecairan, iaitu tidak mudah dijual, adakah ini akan menjadi masalah bagi saya sekiranya saya memerlukan wang?
• Adakah saya berupaya mengendali pemilikan dan menyelenggara hartanah bagi jangka panjang walaupun aliran tunai saya tidak menentu?
• Pelaburan dalam jenis hartanah apakah yang boleh menyumbang kepada pendapatan persaraan?
• Berapa banyak pendapatan yang boleh diperoleh daripada pelaburan hartanah apabila saya bersara nanti?
• Bolehkah saya berharap untuk memperoleh pendapatan segera atau pertumbuhan modal jangka panjang?

Sanggupkah anda memikul tanggungjawab sebagai tuan rumah? Ini bukannya tugas yang mudah. Anda harus mengutip sewa s e t i a p bulan dan ada kemungkinan sewa tidak dibayar atau dibayar lewat. Anda mungkin tidak berpuas hati dengan penyewanya dan terpaksa menyuruh mereka keluar. Di samping itu, anda juga perlu menguruskan baik pulih rumah, mengemaskini pentadbiran hartanah, mengisytiharkan hasil pendapatan atau potongan yang diperoleh dan menjelaskan cukai. Sudah tentu anda boleh mengupah ahli profesional untuk menguruskan perkara tersebut tetapi ini juga melibatkan kos.

Pertimbangan yang perlu dibuat sama ada anda membeli rumah sebagai kediaman anda atau suatu pelaburan bergantung kepada lokasinya. Lokasi yang baik boleh membantu anda mendapat penyewa, kutipan sewa yang dikehendaki selain meningkatkan nilai rumah anda. Mulakan pelaburan dalam hartanah yang kecil dulu supaya anda boleh mengurusnya dari aspek kewangan. Dengan pengalaman, anda boleh melabur dalam hartanah yang lebih besar, khususnya daripada keuntungan yang diperoleh dengan kenaikan modal hasil penjualan hartanah yang terdahulu.