Peranan kerjaya amat besar dalam kehidupan dewasa anda, jadi anda perlulah melakukannya dengan bersungguhsungguh. Kemajuan kerjaya anda akan menentukan kualiti kehidupan anda. Oleh itu, rancanglah kerjaya anda dengan betul. Setiap kali anda bertukar pekerjaan, pastikan ianya langkah positif terhadap peningkatan kerjaya serta meluaskan prospek anda dan bukan hanya setakat meningkatkan kapasiti pendapatan anda.
Walau apa pun pekerjaan pertama anda, gunakan pengalaman tersebut sebagai pengajaran asas untuk menjalani kehidupan di mana-mana tempat bekerja. Tingkatkan kemahiran komunikasi anda, baik dalam bentuk tulisan mahupun percakapan – mereka yang boleh menulis dan bercakap dengan baik berkemungkinan berdaya maju dalam sesebuah syarikat. Amalkan kemahiran berinteraksi dengan semua pekerja di pelbagai peringkat. Dapatkan tugasan yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran anda. Ambil bahagian secara sukarela dalam aktiviti untuk menonjolkan bakat anda. Baca seberapa banyak buku yang berkaitan dengan pengurusan dan perkembangan diri.
Anda boleh membina kerjaya anda dalam syarikat yang sama sepanjang hayat pekerjaan anda ataupun anda boleh bertukar pekerjaan dari satu syarikat ke syarikat yang lain. Walau apa pun keadaan, sekiranya anda ingin menukar pekerjaan, nilai bagaimana pekerjaan baru boleh menambah, bukan hanya pendapatan anda, malah juga pengetahuan, kemahiran dan perkembangan kerjaya anda. Bolehkah ia membantu anda menuju ke arah kerjaya yang ingin dicapai? Atau adakah ia membawa anda lebih hampir untuk mencapai matlamat kewangan anda?
Walau apa pun alasan yang anda pilih untuk bertukar pekerjaan, pastikan ia memberi manfaat kepada anda bagi jangka masa panjang. Pekerjaan anda tertakluk kepada usaha anda. Ia tidak akan membosankan sekiranya anda menggunakannya untuk memperkembangkan diri di samping menyumbang kepada syarikat.