Kepakaran

Kepakaran

Sabtu, 17 November 2012

Faraid - Letak Nama Perwaris apabila sertai TAKAFUL


Perwarisan Wang Pampasan Takaful 

Bagi pelan takaful hayat, peserta perlu menamakan siapa yang bakal mewarisi wang pampasan dari manfaat kematian jika berlaku kematian ke atas peserta. Penama boleh terdiri dari beberapa orang dan peserta perlu meletakkan peratusanatau bahagian yang bakal diterima oleh penama. Kebiasaannya penama terdiri dari ahli keluarga terdekat.

Sebelum anda mengisi borang perwarisan, sila semak sama ada cara perwarisan tersebut berada di dalam instrumen wasi atau hibah. Kedua-dua instrumen ini mempunyai kaedah pembahagian yang berbeza dan jika tidak berhati-hati, penama akan menghadapi masalah jika tidak mengetahui cara sepatutnya wang pampasan takaful tersebut dibahagikan. 

Faraid

Majoriti pengendali insurans dan takaful di Malaysia menggunakan kaedah penama sebagai pemegang amanah atau wasi terhadap wang pampasan insurans atau takaful yang diterima. Sebagai pemegang amanah, seseorang itu tidak berhak secara sepenuhnya terhadap wang tersebut dan wang tersebut akan diklasifikasikan sebagai harta pusaka yang perlu dibahagikan secara kaedah faraid. 

Sebelum wang pampasan takaful atau insurans dibahagikan mengikut hukum faraid, hak-hak dan hutang piutang si mati perlu dijelaskan terlebih dahulu bagi memastikan segala tanggungan hutang si mati dengan manusia dan hutang si mati dengan Allah telah tertunai. Dan kemudian wang tersebut akan dibahagikan mengikut hukum faraid atau berdasarkan persetujuan para waris. 

Walaubagaimanapun, ramai di kalangan kita pada hari ini menganggap sebagai penama di dalam pewarisan wang pampasan takaful, seseorang itu berhak sepenuhnya terhadap wang tersebut. Ini adalah satu kesalahan yang amat besar kerana terdapat hak-hak waris lain yang berhak terhadap bahagian mereka di dalam wang pampasan takaful tersebut. 

Sebagai seorang penama, seseorang itu hanyalah sebagai pemegang amanah yang akan mentadbir pembahagian harta tersebut menerusi kaedah faraid. Jika waris-waris lain merasakan pemegang amanah tersebut tidak berkelayakkan, para waris boleh mencabar kedudukan pemegang amanah tersebut di mahkamah dan proses pembahagian wang pampasan takaful atau insurans akan menjadi bertambah rumit.

Senario biasa di dalam masyarakat kita ialah apabila si suami meletakkan nama isteri sebagai penama atau pemegang amanah wang pampasan takaful. Isteri yang tidak mengetahui tentang pengurusan harta pusaka atau kaedah faraid pasti menganggap wang pampasan takaful tersebut adalah miliknya sepenuhnya dan menggunakan bagi tujuan diri sendiri. 

Ini adalah amat berbahaya kerana si isteri tadi tidak menyedari bahawa sebagai pemegang amanah, dia hanya berhak terhadap bahagian yang menjadi hak terhadapnya dan terdapat bahagian-bahagian waris lain yang berhak terhadap wang pampasan tadi. Sebagai isteri yang mempunyai anak, dia hanya berhak mendapat 1/8 dari jumlah wang pampasan dan anak-anaknya akan mendapat bahagian masing-masing mengikut pembahagian faraid. 

Jika si isteri tadi membolot ke semua wang tadi, maka si isteri tadi telah dikira memakan hak-hak anak yatim walaupun anak-anaknya sendiri dan hukumnya adalah haram dan berdosa besar. Ini tidak dikira lagi jika ibu-bapa si suami masih lagi hidup kerana mereka juga berhak terhadap sebahagian wang pampasan takaful tersebut. Jika anda menggunakan instrumen wasi atau pemegang amanah, pastikan anda berhati-hati dan maklumkan kepada penama agar membahagikan wang pampasan tersebut menerusi kaedah faraid. 

Jadi, takaful bukanlah penyelesaian kepada masalah kewangan waris jika wang pampasan takaful tidak diwarisi dan ditadbir dengan sempurna.