Kepakaran

Kepakaran

Ahad, 8 September 2013

Takaful sebagai Instrumen Simpanan dan Perlindungan

 

Takaful adalah satu instrumen kewangan. Secara umumnya, takaful mempunyai kepentingan kepada ekonomi dan merupakan alat untuk menangani risiko ketidakpastian terhadap kerugian ekonomi. Individu dan organisasi perniagaan menghadapi pelbagai ketidakpastian yang boleh menjejaskan aset atau pendapatan mereka yang akan menyebabkan kerugian kewangan kepada mereka. Antara ketidakpastian yang boleh berlaku adalah kematian, penyakit, kemalangan, kebakaran, kecurian dan kegagalan memenuhi tanggungjawab untuk tidak mencederakan orang lain.

Takaful bermaksud berkongsi tanggungjawab dengan suatu kumpulan bersetuju serta mengaku janji untuk saling jamin-menjamin dan lindung-melindungi antara satu sama lain daripada kehilangan atau kerugian akibat ditimpa oleh sebarang musibah atau bencana.


Fungsi utama takaful ialah melindungi harta dan nyawa. Kepentingan takaful sebagai instrumen tabungan dan perlindungan harta boleh dilihat dalam produk-produk yang disertai oleh para peserta takaful. Dalam kontrak takaful, peserta bersetuju untuk menyerahkan modalnya dalam bentuk sumbangan dan caruman takaful kepada peserta apabila dilanda musibah. Dalam masa yang sama, peserta juga berhak berkongsi untung sekiranya syarikat daripada perniagaan tersebut beroleh keuntungan.

Prinsip mudharabah yang terpakai membolehkan peserta takaful turut mendapat manfaat keuntungan daripada wang yang disumbang ke dalam tabung. Kadar keuntungan akan dibahagikan antara peserta takaful dengan pengendali takaful mengikut kadar nisbah tertentu seperti 50:50, 60:40, 80:20.

Setiap individu yang menyertai takaful keluarga akan mempunyai simpanan dan tabungan apabila ditimpa musibah dan kesusahan seperti keilatan kekal, penyakit kritikal dan kematian. Polisi takaful keluarga terbahagi kepada dua bahagian iaitu Perlindungan Asas dan Perlindungan Tambahan. Perlindungan asas merupakan jumlah pampasan yang akan diperolehi oleh waris peserta takaful sekiranya peserta takaful meninggal dunia. Perlindungan tambahan seperti rider bertempoh, rider penyakit kritikal, rider manfaat hospital, rider pampasan kemalangan, rider manfaat kematian akibat kemalangan dan rider manfaat pembayar(khusus untuk polisi kontrak juvenile sahaja) boleh diambil oleh peserta yang menyertai perlindungan asas.