Kepakaran

Kepakaran

Ahad, 15 September 2013

Takaful sebagai alternatif kepada insurans konvensional


                    

Manusia tidak dapat lari daripada menerima ujian Allah SWT. Sebagai orang Islam, kita perlu percaya bahawa ujian itu juga merupakan risiko-risiko kehidupan, merupakan sebahagian qada' dan qadar Allah SWT. Oleh yang demikian kita perlu menerimanya dengan hati yang redha. Sebagai agama yang dinamik, Islam mengajar kita supaya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya ujian ini. Dengan kata lain, tanpa persediaan awal, kita mungkin berhadapan dengan risiko yang lebih berat lagi kesan daripada ujian tersebut.

Sehubungan itu, risiko-risiko ini perlu diurus dengan bijaksana supaya kesannya dapat diminimumkan dan tidak memberi kesan mendalam ke atas ketahanan mental dan fizikal manusia. Dalam hal ini, konsep takaful dan insurans merupakan antara beberapa kaedah pengurusan risiko yang diterima pakai oleh manusia untuk meminimumkan penderitaan yang mungkin ditanggung akibat musibah yang melanda.

Sebagai agama yang sempurna, ajaran Islam sentiasa memelihara perkara asas iaitu kesejahteraan, kebajikan, ekonomi dan pembangunan sosial orang Islam pada peringkat individu, keluarga, negara dan ummah. Takaful diperkenalkan sebagai alternatif kepada insurans konvensional yang hukumnya haram kerana adanya unsur riba, gharar dan maisir. Sistem takaful bukan sahaja sebagai kaedah pengurusan risiko tetapi juga sebagai instrumen kewangan, simpanan, perlindungan, pelaburan dan pembangunan sosioekonomi.