Kepakaran

Kepakaran

Ahad, 21 Julai 2013

Pelaksanaan hibah dalam konteks operasi Takaful

                               
HIBAH secara asasnya bermaksud pemberian, sedekah atau hadiah melibatkan akad yang mengandungi pemberian hak milik oleh pemilik harta kepada seseorang secara suka rela semasa hayatnya atas dasar kasih sayang tanpa mengharapkan balasan ('iwad). 

Hibah adalah diharuskan sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 177 surah al-Baqarah. Selain itu, terdapat hadis berkaitan urusan hibah ini. 

Sbda Rasulullah SAW: Berilah hadiah, kamu akan berkasih sayang. (riwayat al-Bukhari) Pun begitu, apabila seseorang telah menghibahkan hartanya kepada individu yang lain, dia tidak boleh menarik semula atau membatalkan hibah tersebut kecuali dalam situasi seorang bapa menghibahkan harta kepada anaknya atau datuk kepada cucunya. 

Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang mengambil balik hibahnya seperti orang yang menjilat kembali muntahnya". (riwayat Al-Nasa'i) 

Sabda Baginda SAW lagi: "Seseorang tidak boleh meminta balik hibahnya melainkan hibah bapa terhadap anaknya". (riwayat Al-Nasa'i) 

Setiap kontrak dalam Islam mempunyai rukun-rukun dan syarat-syarat yang mesti dipatuhi, begitu juga dengan hibah. Akad hibah tidak akan wujud melainkan setelah rukun-rukun dan syarat-syaratnya dipenuhi. 
Rukun-rukun bagi hibah ialah pemberi hibah (al-wahib), penerima hibah (al-mauhub lahu), benda yang dihibahkan (al-mauhub) dan sighah (penawaran dan penerimaan atau ijab dan qabul).

Syarat-syarat sah pemberi ialah pemberi merupakan pemilik yang sah ke atas harta yang ingin dihibahkan, tidak dihalang oleh sesuatu perkara. Pemberi juga merupakan seorang yang telah baligh dan hibah atau pemberian yang dibuat perlulah dibuat secara suka rela dan tanpa paksaan. Jika pemberi dipaksa untuk menghibah atau menghadiahkan hartanya kepada orang lain, secara automatik hibah tersebut adalah terbatal. 
Selain itu, syarat-syarat penerima pula ialah penerima perlu wujud semasa proses hibah atau kontrak dijalankan. Syarat-syarat bagi barang yang ingin dihibahkan ialah ia mesti wujud semasa berlakunya akad hibah, halal, mempunyai nilai dan dimiliki oleh pemberi hibah. 

Penerima hibah tidak boleh menghibahkan barang yang menjadi milik orang lain. 
Contohnya; 
Ali menghibahkan pen Ahmad kepada Abu. Hibah tersebut adalah tidak sah kerana pen tersebut adalah dimiliki oleh Ahmad dan bukan kepunyaan Ali.

Apabila sesuatu akad hibah memenuhi rukun-rukun dan syarat-syaratnya serta berlaku penyerahan dan pemberian barang itu (al-qabd), maka harta itu menjadi milik si penerima hibah. Jika al-qabd tidak berlaku, maka akad hibah tidak sah dan pemberi hibah berhak menarik balik hibah itu selama mana harta masih berada dalam miliknya.