Produk ini hanya ditawarkan kepada ibu bapa yang mempunyai anak di mana ibu atau bapa akan bertindak sebagai pembayar sumbangan (pemberi hibah) dan anaknya merupakan peserta takaful (penerima hibah). Hibah seperti ini diharuskan kerana semua rukun dan syarat dapat dipenuhi.
Selain itu, pengendali Takaful melalui pengurusan Tabung Tabarruk akan menghibahkan sesuatu kepada peserta sebagai ganjaran di atas kejayaan tertentu yang dicapai oleh peserta. Hibah jenis ini juga jelas dan tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip syarak kerana semua rukun dan syarat dapat dipenuhi. Berkaitan hibah manfaat Takaful kepada penama yang dinamakan di dalam borang penerima manfaat, para ilmuwan berselisih pendapat berkaitan beberapa isu yang ditimbulkan daripada amalan ini.
Antaranya adalah hibah seharusnya dilakukan semasa hidup, akan tetapi hibah manfaat Takaful akan hanya berkuatkuasa setelah peserta Takaful meninggal dunia. Status manfaat Takaful juga masih dipertikaikan sama ada ia adalah harta si mati atau tidak. Jika ia adalah harta, adakah ia perlu dibahagi-bahagikan kepada ahli waris mengikut hukum faraid atau hibah yang dibuat itu sudah memadai untuk dilaksanakan.
Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuaratnya yang ke 34 bertarikh 21 April 2003 / 19 Safar 1424, telah membuat keputusan mengenai aplikasi konsep hibah bagi pembahagian manfaat Takaful:
1. Manfaat Takaful boleh dihibahkan kerana ia merupakan hak para peserta. Justeru, para peserta mesti dibenarkan untuk melaksanakan hak-hak mereka berdasarkan pilihan mereka selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariah;
2. Status hibah yang digunakan dalam pelan takaful tidak akan berubah menjadi wasiat, kerana jenis hibah yang digunakan ialah hibah bersyarat di mana hibah yang dibuat ialah tawaran kepada penerima untuk tempoh masa yang tertentu.
Dalam konteks Takaful, manfaat Takaful dikaitkan dengan kematian peserta dan tempoh matang sijil. Jika peserta masih hidup semasa tempoh matang sijil, manfaat Takaful akan dimiliki oleh peserta. Akan tetapi, jika peserta meninggal dunia sebelum tempoh matang, maka hibah akan berkuatkuasa;