Kepakaran

Kepakaran

Ahad, 2 Jun 2013

Pelbagai aktiviti sesuai dan menyeronokkan untuk menambah pengetahuan anak




Lebih sebulan musim persekolahan sudah berlalu. Nescaya sepanjang tempoh itu macam-macam aktiviti dilakukan seisi keluarga dan paling seronok anak dapat merehatkan diri secukupnya selain kemungkinan melawat destinasi tertentu di dalam atau luar negara. 

Manfaatkan cuti sekolah
Bagi yang belum sempat bercuti keluarga, masih ada sisa masa lagi sebelum sesi persekolahan bermula semula. Beri peluang anak meluaskan 
pengalaman, pengetahuan 
dan menambahkan bilangan kawan. 







Saya pastikan juga anak bukan pergi sekadar berseronok kerana bercuti, sebaliknya mereka perlu belajar dan meneliti, mahupun memerhati, kerana ada banyak perkara menarik di studio," Nazura Zainal Abidin, suri rumah



Gaya hidup terkini memperlihatkan ramai ibu bapa memilih menghantar anak ke kem musim cuti seperti kem solat, kem kerjaya mahupun kem bina semangat yang bersesuaian dengan anak.

Buat penyelidikan

Pengarah Pendidikan Lestari Yayasan Warisan Anak Malaysia (YAWA), Mohd Fikri Mohd Bakri, berkata ada banyak pilihan anak sepanjang musim cuti persekolahan asalkan mereka berminat untuk menimba ilmu.

Katanya, antara program boleh diterokai membawa anak ke pusat penyelidikan atau konservasi berkaitan alam sekitar atau pertanian. 
“Kanak-kanak atau remaja yang menghadapi musim cuti ini boleh saja mengunjungi pusat botani atau pusat konservasi yang ada dan melakukan penyelidikan sendiri walaupun ia bukan kerja wajib untuk sekolah.

“Jadikan percutian itu seronok dan gembira dengan membuat penyelidikan terhadap tumbuh-tumbuhan, haiwan hutan mahupun apa saja subjek diminati. Kumpul data dan buat catatan untuk simpanan peribadi,” katanya.

Aktiviti ini secara tidak langsung mendidik generasi baru menimba ilmu memulihara alam sekitar dan aktif dalam pelbagai kegiatan membabitkan ekologi flora dan fauna.

Bagi kurang berminat atau tidak faham, pada mulanya mungkin terikut-ikut dan tidak bersungguh-sungguh, tetapi lama kelamaan generasi muda tahu mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

Hargai alam

Merujuk kepada YAWA, pertubuhan berkenaan melakukan konservasi terhadap tumbuh-tumbuhan dan projek terkini yang sedang dilakukan ialah memelihara tumbesaran tumbuh-tumbuhan yang ditanam di kawasan terowong pintar di ibu kota.

“Ahli YAWA akan mengukur pembesaran tumbuh-tumbuhan yang ditanam di situ untuk rekod konservasi dan kegiatan ini mendorong ahli menghargai alam.

“Tidak semestinya mereka menjadi ahli YAWA maka mereka boleh melakukan tugas konservasi terhadap hidupan ini kerana banyak pertubuhan bukan kerajaan melakukan tugas sama sebagai usaha memanfaatkan masa lapang cuti sekolah dan manfaat untuk sesiapa saja yang mempunyai kesedaran begini,” katanya.

Dapat kawan baru

Sementara itu, bagi Arisa Azmi, 10, beliau menyertai kem musim cuti ini dan ia amat bermanfaat kerana dapat belajar mengenai alam sekitar dan bertemu ramai kawan baru.

“Saya boleh bertukar pendapat dan ilmu dengan mereka kerana kami datang daripada sekolah berbeza di sekitar Kuala Lumpur. Kalau berpeluang saya ingin menyertai lebih banyak kem sebegini,” katanya yang belajar di Tahun Empat, di SK Subang Bestari, Shah Alam.

Nurul Zahidah Izati Abdul Hamid, 15, pula memanfaatkan masa dengan mengikuti kem cuti sekolah dan menyertai larian eksplorasi anjuran majikan bapanya memandangkan kegiatan berkenaan boleh disertai seluruh ahli keluarga.

“Saya ikut keluarga menyertai larian eksplorasi kerana syarikat tempat bapa bekerja membenarkan kami ikut sama dalam kegiatan berkenaan. Saya membuat persiapan dengan membuat latihan untuk menghadapi penggal persekolahan baru. Walaupun cuti sekolah, ada banyak buku latihan yang boleh diguna untuk ulangkaji,” katanya yang menuntut di S(A) Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam.

Atur masa 

Nazura Zainal Abidin, 44, memilih membawa tiga anaknya ke Studio Universal, di Singapura melakukan perancangan rapi supaya semua ahli keluarga boleh menyertai percutian bermakna itu.

“Sebagai suri rumah saya tidak risau mengenai tugas menyelesaikan tempahan kuih-muih kerana boleh mengatur masa saya tetapi suami perlu mengambil cuti dan anak juga mesti memberitahu, masa mereka sama ada mereka perlu menghadiri kelas tambahan di sekolah atau sebaliknya.

“Saya pastikan juga anak bukan pergi sekadar berseronok kerana bercuti, sebaliknya mereka perlu belajar dan meneliti, mahupun memerhati kerana ada banyak perkara menarik di studio berkenaan.

“Paling utama mereka boleh belajar sesuatu dan berkongsi masa berharga bersama adik beradik dan ibu bapa. Jauh atau dekat destinasi dikunjungi bukan menjadi persoalan, sebaliknya masa bersama itu adalah yang paling berharga,” katanya.