Seperti dalam proses perancangan, anda patut tahu kedudukan anda sekarang:
• Berapa banyak simpanan dan aset yang anda ada sekarang?
• Berapakah pendapatan bulanan anda?
• Berapa peratusan pendapatan diagihkan kepada KWSP atau lain-lain pelan persaraan?
• Berapa banyakkah pulangan yang dikehendaki daripada pelaburan anda?
• Berapa tahun lagi yang anda boleh menjana pendapatan sebelum bersara?
Selepas menganalisa aset dan liabiliti semasa, anggarkan keperluan perbelanjaan dan selaraskannya untuk menangani sebarang inflasi. Kemudian buat keputusan tentang bila anda ingin bersara - pada umur 45, 55, 60 atau 65 tahun?
Buat kiraan pendapatan yang diperlukan semasa persaraan mengikut gaya hidup yang diinginkan. Perancangan persaraan perlu merangkumi pengurangan hutang, bajet, mempelbagaikan pelaburan dan pengekalan kesihatan melalui diet dan bersenam. Persoalan mengenai kesihatan adalah penting semasa hari tua. Kos kesihatan mungkin menjadi perbelanjaan besar yang boleh menghakis simpanan persaraan anda.
Walaupun anda mempunyai insurans perubatan dan insurans hayat yang meliputi penyakit kritikal, ini mungkin tidak meliputi prosedur dan preskripsi yang anda perlukan. Kadangkala, sesetengah penyakit hanya dilindungi secara separa atau tidak langsung dilindungi di bawah manfaat insurans. Oleh itu, perancangan
persaraan yang lengkap harus dilakukan untuk mengekalkan gaya hidup yang sihat.