Kepakaran

Kepakaran

Khamis, 20 Disember 2012

MEMBINA KEJAYAAN


Kita sudah pun berbincang bahawa cara bijak mengurus wang ialah membina kekayaan dengan memiliki lebih daripada apa yang anda hutang. Kita akan berbincang dengan lebih mendalam bagaimana membina kekayaan dan pada masa yang sama, merancang untuk mengatasi apa-apa ketidakpastian.

TABIAT MENABUNG

 

Menabunglah secara automatik

Pelan tabungan adalah penting dalam perancangan kewangan. Tanpa pelan ini, anda mungkin tidak dapat mencapai matlamat kewangan anda. Kami cadangkan anda menabung 10% daripada pendapatan setiap bulan. Adalah lebih baik jika anda dapat menabung 20% - 30% kerana ini meningkatkan lagi simpanan pada masa hadapan. Ingat, semakin banyak wang ditabung sekarang, semakin mudah untuk mencapai matlamat kewangan anda.

Ada beberapa cara menabung peratusan pendapatan bulanan tersebut terus ke dalam akaun simpanan anda:
• tulis cek dan masukkan ke dalam akaun simpanan anda setiap bulan;
• buat pemindahan wang melalui ATM;
• pindahkan wang dari akaun semasa ke dalam akaun simpanan anda melalui perbankan internet setiap bulan.

Adalah bagus sekiranya anda dapat melakukan salah satu daripada perkara yang tersebut di atas. Walau bagaimanapun, selepas beberapa bulan, anda mungkin terlupa untuk berbuat demikian atau ada alasan untuk membelanjakan wang tersebut daripada menyimpannya di dalam akaun simpanan anda. Tabiat menabung anda akan terjejas dan sekiranya ini berlaku, mungkin sukar meneruskan pelan tersebut.

Jadi, bagaimana untuk memastikan anda mengikuti pelan tabungan ini? Mudah saja - adakan tabungan secara automatik! Beri arahan kepada bank untuk memindahkan sekurangkurangnya 10% daripada gaji bulanan daripada akaun semasa ke dalam akaun simpanan anda setiap bulan. Buatkan pemindahan tersebut sebaik sahaja gaji di masukkan ke dalam akaun semasa anda. Apa yang tidak dapat dilihat atau apa yang tidak ada, anda tidak akan rasa kehilangannya. Pada masa yang sama, wang dalam akaun simpanan akan bertambah, membawa anda lebih hamper untuk mencapai matlamat kewangan. Jika kemampuan serta pendapatan anda bertambah hasil kenaikan gaji atau pangkat, beri arahan kepada bank untuk menambahkan jumlah yang dipindahkan ke akaun simpanan anda. Apabila anda berjaya menyimpan jumlah wang yang dikehendaki, pindahkan wang tersebut ke simpanan tetap atau lain-lain simpanan yang memberi lebih pulangan.

Walau bagaimanapun, teruskan pemindahan wang setiap bulan ke dalam akaun simpanan dan jangan berhenti kerana ini mungkin akan menjejaskan tabiat menabung anda. Wang yang anda tabung secara automatik ini boleh digunakan untuk mencapai matlamat kewangan yang lain.

Rabu, 19 Disember 2012

Perbankan Internet yang selamat


Ramai pengguna bimbang tentang keselamatan maklumat dan transaksi melalui Internet. Bagi mereka yang terlibat dalam perniagaan Internet, termasuk bank, berbagai-bagai usaha secara berterusan dijalankan untuk memastikan internet adalah saluran yang selamat untuk digunakan. Bagaimanapun risikonya tetap wujud.
Pastikan yang anda sentiasa membuat cetakan bagi setiap transaksi di Internet. Ini membolehkan anda membuat penyemakan semula sekiranya berlaku sebarang percanggahan, terutamanya atas baki akaun dan penyata akaun yang dihantar oleh bank. Cetakan tersebut juga boleh dijadikan sebagai bahan rujukan bagi anda dan pegawai bank sekiranya anda ingin mengesan sebarang keraguan atas sesuatu transaksi.


Pada keseluruhannya, perbankan Internet boleh menawarkan urus niaga yang selamat sekiranya anda mengamalkan langkah-langkah keselamatan yang mencukupi seperti berikut:
• Jangan dedahkan ID Daftar Masuk, kata laluan atau nombor PIN anda.
• Selalu tukar kata laluan atau nombor PIN anda.
• Elak daripada menyimpan ID Daftar Masuk dan kata laluan atau nombor PIN anda dalam
komputer.
• Pastikan anda melayari laman web yang betul.
• Pastikan anda melayari laman web yang selamat dengan menyemak “Universal Resource
Locators” (URL) untuk memastikan URL bermula dengan “https” dan memastikan imej ibu
kunci tertutup terdapat pada bar status pelayar web.
• Sering semak butir-butir sejarah transaksi dan penyata yang dihantar oleh bank.
• Jangan tinggalkan komputer sekiranya anda masih mengakses perbankan Internet.
• Sentiasa melog keluar sebaik sahaja anda selesai melaksanakan transaksi dan
memadamkan peti ingatan dan sejarah transaksi selepas melog keluar dari laman web.
• Lindungi komputer anda daripada virus dan program perosak dengan memasang “firewall”
terkini dan program penentang virus yang bereputasi. Pastikan perisian antivirus dan
“firewall” anda sentiasa dikemaskinikan agar lebih berkesan.
• Elak daripada memuat turun perisian atau fail dari laman web yang kurang diketahui atau
memasuki hiperpautan yang dihantar oleh mereka yang tidak dikenali.
• Jangan sekali-kali menghantar maklumat peribadi, terutamanya kata laluan atau nombor PIN
anda melalui e-mel biasa.
• Elakkan daripada menggunakan komputer yang dikongsi atau milik awam untuk
mengendalikan transaksi perbankan Internet anda.
• Jangan biarkan tetingkap pelayar lain terbuka semasa membuat transaksi perbankan dalam
talian
• Pastikan agar anda menyahaktifkan ciri-ciri ‘perkongsian fail dan pencetak’ dalam sistem
pengendalian anda.

Adalah perkara biasa sekiranya anda membuat kesilapan semasa menjalankan sesuatu transaksi. Jika ini berlaku, segera hubungi perkhidmatan pelanggan bank tersebut dan berikan butir-butir terperinci berkaitan transaksi atau masalah yang dihadapi. Bank biasanya mempunyai rekod semua transaksi yang anda jalankan dan mereka sedia membantu untuk mengatasi masalah tersebut.

Seperti yang anda biasa amalkan, pastikan anda membaca dan memahami terma serta syarat perbankan Internet yang anda langgani, terutamanya berkaitan dengan transaksi tanpa kebenaran atau urus niaga palsu. Sekiranya anda ingin membuat apa-apa aduan, adalah lebih baik berjumpa dengan pegawai khidmat pelanggan bank terlebih dahulu. Ini membolehkan anda memahami perkhidmatan tersebut sepenuhnya sebelummembuat keputusan untuk menggunakan perbankan Internet.

KESIMPULANNYA
• Bank menawarkan pelbagai produk, perkhidmatan dan kemudahan untuk memenuhi
keperluan kewangan anda.
• Pertimbangkan segala aspek apabila memilih bank yang terbaik untuk anda.
• Perbankan Islam menawarkan suatu alternative kepada perbankan konvensional.
• Bertentangan dengan sesetengah pendapat, perbankan Islam adalah untuk semua orang
tanpa mengambil kira agama dan kepercayaan masing-masing.
• Perbankan Internet adalah cara mudah menjalankan urus niaga perbankan.

Selasa, 18 Disember 2012

PERBANKAN INTERNET




Bank di Malaysia kini giat menggalakkan pelanggan agar menggunakan internet untuk menjalankan urusan perbankan. Internet atau perbankan dalam talian merujuk kepada urusan transaksi perbankan yang dikendalikan melalui laman web bank yang selamat.

Perbankan Internet membolehkan anda menguruskan kewangan dari rumah, pejabat, semasa atau di luar masa perbankan, atau dari mana-mana lokasi sekalipun selagi adanya akses kepada internet dan pelayar internet. Lazimnya perisian atau perkakasan istimewa tidak diperlukan.

Dengan perbankan Internet, anda boleh:
• menyemak baki akaun dan penyata akaun
• mengemukakan permohonan untuk akaun, kad kredit dan pinjaman baru.
• membuat pelaburan deposit tetap.
• memindah wang antara akaun (akaun milik sendiri atau pihak ketiga).
• membayar bil, kad kredit, pinjaman dan premium insurans.
• membuat, meminda atau membatalkan arahan tetap.
• memohon buku cek dan penyata akaun bank.
• menyemak status cek.
• memohon arahan menghentikan pembayaran cek.
• memohon Draf Bank dan Pemindahan Telegraf.

Anda boleh mendaftar untuk urusan perbankan Internet dengan bank yang menawarkan perkhidmatan bagi akaun bank yang sedia ada, seperti akaun simpanan, akaun semasa, kad kredit dan pinjaman. Terdapat juga bank yang menawarkan akaun khas untuk kemudahan perbankan Internet kepada pelanggan lama dan baru mereka.

Pastikan ciri-ciri akaun khas ini sesuai bagi anda dan jangan tertarik dengan tawaran istimewa yang mungkin tidak relevan kepada keperluan anda. Dapatkan tawaran yang terbaik. Anda boleh melayari laman web BNM untuk menyemak senarai bank yang menawarkan perbankan Internet. Buat masa sekarang, langganan bagi perkhidmatan perbankan Internet adalah percuma, walaupun ini bergantung kepada bank yang menyediakan perkhidmatan tersebut. Fi mungkin dikenakan bagi sesetengah perkhidmatan seperti pemindahan wang antara bank, pemindahan telegraf dan permohonan buku cek. Semak dengan bank anda tentang fi yang dikenakan. Bank mungkin menawarkan fi yang lebih kompetitif apabila menggunakan khidmat Internet untuk menjalankan aktiviti perbankan berbanding saluran lain seperti perkhidmatan di kaunter cawangannya.

Isnin, 17 Disember 2012

PERBANKAN ISLAM


 

Perbankan Islam adalah sistem perbankan yang berlandaskan lunas dan prinsip Syariah. Berpandukan sistem ekonomi Islam, melarang riba (iaitu menerima dan memberi faedah), usury, pengenaan kadar faedah yang terlalu tinggi kepada pinjaman dan perniagaan yang haram di sisi Islam.

Di Malaysia, anda mempunyai pilihan untuk memilih pembiayaan secara sistem perbankan konvensional ataupun perbankan Islam. Terdapat bank di negara ini yang menjalankan perbankan Islam sepenuhnya. Walau bagaimanapun, terdapat juga bank konvensional yang menubuhkan divisyen khusus untuk menjalankan sistem perbankan Islam. Bertentangan dengan pandangan sesetengah orang, perbankan Islam adalah untuk semua orang tanpa mengambil kira agama. Tujuan perbankan Islam dan perbankan konvensional adalah sama, kecuali transaksi dalam perbankan Islam dijalankan berlandaskan prinsip Syariah yang dikenali sebagai Figh al-Muamalat. Prinsip asas sistem ini adalah perkongsian untung dan rugi dan pengharaman pengambilan riba. Antara konsep Syariah yang biasa digunakan dalam perbankan Islam adalah perkongsian untung (Mudharabah), simpanan (Wadiah), usaha sama (Musharakah), kos tokok (Murabahah) dan pajakan (Ijarah).

Perbankan Islam di Malaysia dikawal selia oleh Majlis Penasihat Syariah Kebangsaan (National Shariah Advisory Council) yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia. Di samping itu, perbankan Islam dan perbankan konvensional yang menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam diwajibkan mempunyai jawatankuasa penasihat syariah masingmasing atau melantik para perunding untuk memastikan operasi dan aktiviti mereka mematuhi prinsip Syariah.

Ahad, 16 Disember 2012

Biro Pengantaraan Kewangan (BPK)


Biro Pengantaraan Kewangan (Financial Mediation Bureau - FMB) 


Adalah sebuah badan bebas yang ditubuhkan untuk membantu menyelesaikan pertikaian antara anda dan penyedia perkhidmatan kewangan di kalangan ahli-ahli BPK, sebagai alternatif kepada penyelesaian melalui
mahkamah. Pertikaian tersebut mungkin berkaitan dengan perkara perbankan, kewangan, insurans atau takaful. 

BPK tidak akan mempertimbangkan aduan atau tuntutan mengenai:
• Harga am.
• Dasar produk atau perkhidmatan ahli.
• Keputusan kredit (kelulusan, penolakan dan penstrukturan semula pinjaman).
• Kes penipuan (selain daripada kes penipuan yang melibatkan instrumen pembayaran, kad
kredit, kad caj, kad ATM dan cek bagi amaun yang tidak melebihi RM25,000).
• Kes yang melebihi had masa enam tahun.
• Kes yang telah dibawa atau dirujuk ke mahkamah dan/atau untuk penimbangtaraan.

BPK hanya akan mengendalikan aduan sekiranya pada awalnya aduan tersebut telah diajukan kepada institusi kewangan yang berkenaan. Sila layari laman web www.fmb.org.my untuk mendapatkan maklumat lanjut. Setiap bank mempunyai terma dan syarat yang berlainan bagi setiap produk dan perkhidmatan
mereka. Pastikan anda mengetahuinya dan sentiasa membuat perbandingan antara institusiinstitusi tersebut untuk mendapatkan tawaran yang terbaik buat diri anda.

Sabtu, 15 Disember 2012

TANGGUNGJAWAB pemegang AKAUN & PIDM


Tanggungjawab anda sebagai pemegang Akaun Simpanan dan Akaun Semasa:

• Sentiasa merahsiakan nombor akaun dan PIN anda.
• Sentiasa menyimpan penyata akaun, buku bank dan kad ATM di tempat yang selamat.
• Pastikan anda mengoyakkan cek yang dibatalkan.
• Segera memaklumkan bank sekiranya anda
- bertukar alamat atau nombor telefon.
- kehilangan kad ATM, buku simpanan, cek atau buku cek.
- terdapat sebarang kesilapan pada penyata bank anda.

Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM)



PIDM ialah agensi Kerajaan yang ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Insurans Deposit
Malaysia 2005 untuk mentadbir sistem insurans deposit di Malaysia. Sistem ini melindungi
penyimpan daripada kehilangan wang deposit yang disimpan di bank sekiranya bank mengalami
kegagalan. Sebagai penyimpan sama ada individu atau entiti perniagaan, anda tidak perlu
membayar atau memohon untuk mendapatkan perlindungan insurans deposit kerana PIDM akan
melindungi wang simpanan anda secara automatik tanpa sebarang kos bagi perlindungan
tersebut.
Susulan pelaksanaan Jaminan Deposit Kerajaan pada 16 Oktober 2008, PIDM kini melindungi
sepenuhnya semua deposit dalam ringgit dan mata wang asing dengan bank perdagangan, bank
Islam, bank pelaburan, bank Islam antarabangsa serta institusi kewangan pembangunan yang
menerima deposit dan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia. Jaminan Deposit Kerajaan
sementara ini menyediakan perlindungan lanjutan kepada penyimpan melebihi perlindungan yang
disediakan oleh PIDM dan berkuatkuasa sehingga 31 Disember 2010. Untuk maklumat lanjut
tentang perlindungan insurans deposit, sila hubungi talian bebas tol 1-800-88-1266 atau layari
laman web PIDM di www.pidm.gov.my