Kepakaran

Kepakaran

Isnin, 7 Januari 2013

TAKAFUL

                



Sebagaimana sistem perbankan di mana anda boleh memilih mendapatkan produk-produk dan perkhidmatan perbankan Islam dan perbankan konvensional, begitulah juga dengan industri insurans di Malaysia dengan adanya insurans konvensional dan insurans Islam atau lebih dikenali sebagai takaful.

Takaful adalah pelan perlindungan berdasarkan prinsip Syariah. Dengan mencarum sejumlah wang ke dalam dana takaful dalam bentuk caruman penyertaan, anda memeterai kontrak (aqad) untuk membolehkan anda menjadi peserta yang saling membantu antara satu sama lain, sekiranya salah seorang peserta mengalami kerugian tertentu.

Kedua-dua insurans konvensional dan takaful mempunyai prinsip asas yang sama. Sebagai contoh, anda mestilah mempunyai kepentingan yang sah terhadap harta benda atau hayat yang diinsuranskan. Ini bermakna, anda akan menanggung kerugian kewangan sekiranya berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini atas harta benda atau hayat tersebut.

Ahad, 6 Januari 2013

Menjaga Kecantikan Menurut Ajaran Islam Dan Amalan Melayu





1.   Apabila bangun pagi, sebelum gosok gigi, orang Melayu mengajar supaya minum segelas air masak kosong. Rasulullah saw juga mengamalkan minum segelas air kosong setiap pagi. Air kosong yang bercampur dengan air liur pagi mengandungi enzime yang baik untuk penghadaman, jadi apabila sistem penghadaman elok, Insyaallah jauh dari penyakit.

2.  Mandi pagi sebelum subuh @ sekurang kurangnya sejam sebelum matahari naik. Air sejuk yang meresap kedalam badan boleh mengurangkan lemak mengumpul. Kita boleh saksikan orang mengamal mandi pagi kebanyakan badan tak gemuk.

3.  Solat sememangnya terapi yang terbaik untuk kesihatan. Apabila sujud sewaktu sembahyang subuh, sujudlah sekurang-kurangnya seminit, jangan cepat sangat. Ia boleh mengelak dari sakit pening atau migrin. Ini terbukti oleh para saintis yang membuat kajian tentang kehebatan solat. Ahli-ahli sains telah menemui beberapa milimeter ruang udara dalam saluran darah di kepala yang tidak dipenuhi darah. Hanya dengan bersujud makan darah akan mengalir ke ruang berkenaan.

4.  Para ulama’ mengajar kita supaya memakan buah-buahan dahulu sebelum makan, bertentangan dengan saranan Barat yang menyuruh kita makan buah selepas makan. Ini berdasarkan surah Al Waqi’ah ayat 20-21 tentang makanan ahli syurga "Dan buah-buahan dari apa yang mereka pilih, dan daging burung dari apa yang mereka inginkan." Dalam ayat tersebut Allah swt menerangkan tentang makanan ahli syurga yang mana Allah menyebutkan buah-buahan dahulu, baru kemudian daging.

5.  Sewaktu makan, elakkan mencampur makanan darat dengan makanan dalam air seperti ikan dengan ayam. Dalam kitab lama, ada melarang kita makan makanan darat bercampur dengan makanan air berdasarkan tegahan Rasulullah saw terhadap sahabat untuk makan ikan bersama susu kambing. Apabila dikaji oleh para saintis, mereka menjumpai di mana dalam badan ayam mengandungi ion (+) manakala dalam ikan mengandungi ion (-). Maka dalam suapan ayam bercampur dengan ikan akan terjadi tindakbalas biokimia yang terhasil yang boleh merosakkan usus kita.

6.  Tidak salah makan dengan sudu/garfu/copstik dsb tetapi Rasulullah saw mengajar kita makan dengan tangan dan bila habis hendaklah menjilat jari. Apabila dikaji, ahli saintis telah menjumpa bahawa enzyme banyak terkandung di celah jari jari, dan ianya amat baik untuk pencernaan makanan.

7.  Selepas makan, jangan minum air terus, tunggulah selepas 15-30 minit baru minum air. Air apa yang bagus? Saya tidak memberi apa-apa jaminan keberkesanan, tapi ada yang mengatakan dengan mengamal minum secawan air teh "O" setiap pagi Isyaallah boleh mengawal dan mengurangkan berat badan anda. Minum teh o ini bukan hadith Rasulullah, tapi amalan orang Melayu.

Sabtu, 5 Januari 2013

Insurans am


                                  
Insurans am merupakan polisi insurans yang melindungi anda daripada apa apa kerugian yang disebabkan kecurian atau kerosakan atas barangan peribadi anda. Ia juga melindungi liabiliti yang timbul akibat kerosakan kepada barangan pihak ketiga yang disebabkan oleh kecuaian anda. Selain itu kematian akibat kemalangan atau kecederaan kepada pihak ketiga yang melibatkan pembiayaan hospital juga dilindungi. Lazimnya, tempoh perlindungan untuk kebanyakan polisi dan pelan insurans am adalah setahun dan pembayaran premium perlu dibuat sekali gus.

Produk utama insurans am termasuklah:

Kenderaan : Melindungi kenderaan anda daripada risiko kecurian, kemalangan atau kebakaran. Sekiranya anda membeli perlindungan pihak ketiga, anda dilindungi daripada tuntutan yang dibuat oleh pihak ketiga bagi kecederaan atau kematian orang lain (pihak ketiga) termasuklah kerugian atau kerosakan kepada harta pihak ketiga disebabkan oleh kenderaan anda. Jika anda membeli perlindungan komprehensif, anda akan mendapat perlindungan menyeluruh iaitu perlindungan bagi kecederaan dan kematian pihak ketiga, kehilangan dan kerosakan harta pihak ketiga, dan juga kerugian dan kerosakan bagi kenderaan anda sendiri disebabkan kemalangan, kebakaran atau kecurian.

Kediaman : Polisi kebakaran asas memberi perlindungan hanya bagi bangunan akibat kebakaran, kilat atau letupan. Polisi pemilik rumah pula memberi perlindungan tambahan atas bangunan untuk meliputi sebarang kerugian atau kerosakan akibat banjir, paip pecah dan lain-lain bencana. Manakala polisi isi rumah, adalah untuk melindungi barang-barang isi rumah anda seperti perabot, dilindungi daripada kecurian, banjir dan kebakaran. Polisi ini tidak memberi perlindungan terhadap kerosakkan rumah itu sendiri.

Perjalanan : Perlu dibeli sekiranya anda bercadang ke luar negara. Ia melindungi anda daripada insiden yang berkaitan dengan perjalanan seperti kelewatan perjalanan, kemalangan diri, kehilangan bagasi, belanja perubatan dan lain-lain perbelanjaan.

Barangan peribadi : Melindungi barangan peribadi anda seperti komputer, telefon bimbit, dan kamera daripada kehilangan atau kecurian. Sebelum memilih mana-mana polisi insurans, pastikan anda menyemak bahaya dan risiko yang dilindungi oleh polisi tersebut memandangkan setiap perlindungan yang ditawarkan oleh syarikatsyarikat insurans biasanya berbeza-beza.

Jumaat, 4 Januari 2013

JENIS-JENIS INSURANS


Insurans hayat

                   
Insurans hayat adalah perlindungan yang membayar sejumlah wang kepada pemegang polisisekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingini kepada pemegang polisi seperti kematian, penyakit, kehilangan upaya dan pembiayaan rawatan hospital. Amatlah penting untuk memiliki insurans terutamanya jika anak atau ibu bapa anda yang telah tua bergantung hidup pada anda. Lazimnya, tempoh perlindungan insurans hayat adalah lebih daripada setahun dan anda mempunyai pilihan untuk membuat bayaran premium secara berkala, sama ada setiap bulan, suku tahun, setengah tahun atau setiap tahun.

Produk utama insurans hayat termasuklah;

Insurans hayat seumur hidup: Polisi ini menawarkan perlindungan sepanjang hayat dan premiumnya dibayar seumur hidup anda. Wang manfaatnya, termasuklah bonus jika ada, akan dibayar setelah sesuatu kematian atau kehilangan upaya yang menyeluruh dan kekal dialami atau penyakit kritikal dihidapi. Biasanya, premium bagi insurans sedemikian lebih tinggi berbanding insurans bertempoh. Ia juga mempunyai nilai tunai sepanjang tempoh polisi tersebut berkuat kuasa.

Insurans bertempoh: Polisi ini menawarkan perlindungan insurans bagi tempoh terhad sahaja. Wang manfaat dibayar hanya setelah suatu kematian atau sekiranya pemegang polisi mengalami kehilangan upaya yang menyeluruh dan kekal atau menghidap penyakit kritikal semasa tempoh masa polisi berkuat kuasa. Bayaran yang diterima adalah mengikut jumlah yang dipersetujui semasa polisi tersebut dibeli.

Insurans endowmen: Polisi ini menggabungkan perlindungan dan juga simpanan. Ia menyediakan manfaat tunai pada akhir suatu tempoh tertentu atau atas kematian atau kehilangan upaya yang menyeluruh dan kekal. Tempoh polisi ditentukan oleh pembeli. Insurans berkaitan pelaburan: Menggabungkan pelaburan dan perlindungan. Anda boleh memilih jenis dan jumlah pelaburan yang anda inginkan serta jumlah perlindungan insuran hayat yang ingin dimiliki. Jumlah premium adalah fleksibel.

Insurans perubatan dan kesihatan: Polisi yang melindungi kos rawatan perubatan seperti kos rawatan hospital dan kos pembedahan.

Insurans bertempoh gadai janji berkurangan (MRTA): Perlindungan insurans yang meliputi pembayaran balik pinjaman pembelian hartanah tertunggak kepada institusi kewangan sekiranya berlaku kematian, kehilangan upaya atau mengalami penyakit kritikal. Institusi kewangan tersebut akan melepaskan hak milik hartanah kepada anda atau waris anda. Premium cuma dibayar sekali sahaja.

Khamis, 3 Januari 2013

Bagaimana insurans berfungsi?


                      
Apabila bayaran (lebih dikenali sebagai premium) dibuat kepada syarikat insurans berlesen, maka syarikat tersebut bertanggungjawab membayar pampasan kepada anda sekiranya anda mengalami sebarang kerugian atau kerosakan barangan disebabkan oleh kebakaran, kemalangan atau kecurian. Bagaimanapun insiden-insiden ini mesti berlaku dalam tempoh insurans itu berkuat kuasa dan pampasan yang dibayar terhad kepada jumlah yang diinsuranskan.
Syarikat insurans menjual polisi kepada ribuan orang dan premium yang terkumpul menjadi sebahagian daripada dana bersama. Tidak semua yang menyumbang akan menghadapi nasib malang. Jika ada sekali pun, biasanya bukanlah pada masa yang sama, maka dana tersebut akan digunakan untuk membantu mereka yang telah menyumbang untuk sama-sama berkongsi risiko.

Industri insurans di Malaysia dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Untuk membantu orang awam mengetahui lebih lanjut mengenai insurans, BNM telah mengeluarkan beberapa siri buku kecil yang boleh didapati di cawangan syarikat insurans. Anda juga boleh melayari laman web

www.insuranceinfo.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.


Rabu, 2 Januari 2013

MERANCANG BAGI KEADAAN DI LUAR DUGAAN


MENGAPA ANDA PERLUKAN INSURANS

Apakah itu insurans?

                  
Apabila anda membuat apa-apa komitmen kewangan, seperti membeli rumah melalui pinjaman bank, anda telah (locked) sebahagian daripada pendapatan masa depan anda bagi pembayaran balik pinjaman tersebut. Sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti kematian atau kehilangan upaya, atau bencana ekonomi (pemberhentian kerja), keupayaan anda untuk memenuhi komitmen kewangan tersebut akan terganggu dan berkemungkinan besar anda kehilangan aset yang sedia ada!

Terdapat satu instrumen kewangan yang boleh diperoleh untuk melindungi anda daripada apa-apa kemungkinan tersebut - ia adalah insurans. Insurans merupakan suatu cara melindungi diri anda, keluarga dan harta benda anda sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

Tujuan mendapatkan insurans
Di samping menawarkan perlindungan, insurans juga memberikan anda ketenangan fikiran. Bayaran yang dibuat bagi insurans membolehkan anda:
• membayar ganti rugi bagi barangan peribadi atau mendapat gantian barangan yang telah dicuri (sekiranya barangan tersebut diinsuranskan).
• membayar bil perubatan apabila anda atau keluarga menerima rawatan di hospital.
• menyelenggara perbelanjaan bulanan, hutang dan komitmen kewangan apabila anda tidak lagi berupaya bekerja disebabkan oleh penyakit kritikal atau kemalangan.
• menyediakan bantuan kewangan bagi keluarga anda sekiranya ditakdirkan anda kehilangan upaya, mengalami penyakit kritikal atau meninggal dunia, terutamanya jika anda pencari nafkah utama.

Selasa, 1 Januari 2013

Apa yang mesti anda lakukan...


Apa yang mesti anda lakukan apabila mendapat tawaran yang menarik untuk menjadikan anda kaya?
• Peraturan penting adalah janganlah jadi tamak dan buat keputusan serta-merta. Selalu semak-menyemak dengan kawan, keluarga dan golongan profesional sama ada peluang pelaburan sedemikian adalah tulen ataupun tidak.
• Dapatkan lebih maklumat mengenai tawaran itu sebelum memutuskan untuk melabur. Anda harus curiga terhadap pelaburan yang menawarkan pulangan tinggi, berisiko rendah dan tanpa kos pelaburan, kerana tidak mungkin sesebuah perniagaan boleh memberikan semua ini.
• Walaupun pelaburan yang ditawarkan diperkenalkan atau disarankan oleh seseorang yang anda kenali dengan baik atau mungkin ahli keluarga, sentiasa berwaspada kerana tiada tawaran pelaburan yang mudah dan boleh memberi pulangan wang dengan cepat.
• Pelaburan yang salah dari segi undang-undang bukanlah jenis pelaburan yang anda ingini. Pelaburan seperti ini berisiko dan anda boleh didakwa terlibat dalam pelaburan haram.

KESIMPULANNYA
• Untuk membina kekayaan, mulalah menyimpan dan melabur dari SEKARANG!.
• Anda perlu menambahkan aset untuk menambahkan nilai harta bersih anda.
• Pelbagaikan pelaburan anda untuk mengurangkan risiko.
• Pelaburan yang memberi pulangan yang lebih, mempunyai risiko yang lebih tinggi.
• Berwaspadalah dengan skim cepat kaya.