Kepakaran

Kepakaran

Khamis, 31 Januari 2013

Kad caj adalah seperti kad kredit


                                       

Kad caj adalah seperti kad kredit. Untuk kad kredit, anda boleh membuat pembayaran minimum setelah menerima penyata bil bulanan, tetapi tidak bagi kad caj. Dengan kad caj, anda mestilah membayar jumlah sepenuhnya setiap bulan mengikut penyata yang dihantar, jika tidak, caj bayaran lewat akan dikenakan.

Kad debit pula lebih menyerupai kad ATM, kecuali anda tidak perlu mengeluarkan wang tunai dari mesin ATM anda. Anda boleh menggunakan kad debit di tempat yang menerima kad tersebut. Jumlah yang dicajkan akan ditolak serta-merta daripada akaun bank anda. Seperti juga kad kredit, adalah mudah menggunakan kad debit kerana anda tidak perlu membawa wang tunai bersama anda.

Kad prabayar pula boleh digunakan untuk membuat belian tetapi terhad kepada jumlah wang yang anda masukkan dalam kad tersebut. Ianya seperti kad prabayar telefon atau kad Touch & Go, di mana anda mempunyai wang yang terhad untuk dibelanjakan. Apabila jumlah yang dimasukkan berkurangan, anda boleh menambah semula jumlahnya ke had maksimum yang telah ditetapkan oleh pengeluar kad berkenaan. Kad debit dan kad prabayar adalah pilihan yang lebih sesuai bagi mereka yang kurang berdisiplin dalam soal kewangan.

Lazimnya, had kad kredit adalah 2-3 kali ganda gaji bulanan anda. Sekiranya anda menggunakan had maksimum, anda harus ingat bahawa anda telah membelanjakan 2-3 gaji bulanan anda yang akan datang.

Rabu, 30 Januari 2013

Faedah-faedah Kad kredit


                                      

Kad kredit adalah instrumen yang berguna sekiranya anda tahu cara menggunakannya dengan bijak. Faedah-faedahnya termasuklah:

• Merupakan kaedah pembayaran yang mudah dan cekap.
• Anda boleh menggunakan penyata bulanan yang dihantar untuk menjejak perbelanjaan.
• Terdapat kad kredit yang menyediakan perlindungan kemalangan peribadi dan insurans perjalanan secara percuma, bergantung kepada jenis kad yang ditawarkan.
• Pengeluar kad kredit telah memperkenalkan skim-skim menarik seperti skim bayaran ansuran tanpa faedah, skim bayaran fleksibel dan pindahan baki pada 0%, untuk membolehkan anda memaksimumkan pembelian anda.
• Anda juga boleh memperoleh mata ganjaran sekiranya menggunakan kad kredit, yang biasanya tidak dinikmati sekiranya bayaran dibuat secara tunai.
• Anda boleh manfaatkan kadar faedah melalui struktur harga berperingkat berdasarkan rekod pembayaran bulanan yang baik.

Selasa, 29 Januari 2013

KAD KREDIT


KAD KREDIT, KAD CAJ DAN LAIN‑LAIN KAD

Kad kredit merupakan kaedah pembayaran yang membolehkan anda membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan secara elektronik tanpa menggunakan wang tunai. Apabila anda menggunakan kad kredit, pengeluar kad kredit akan membuat bayaran kepada peniaga bagi pihak anda dan kemudiannya meminta bayaran daripada anda melalui bank yang mengeluarkan kad tersebut. Kaedah ini amat memudahkan pembelian barang-barang.

                        

Isnin, 28 Januari 2013

Menjadi penjamin


Anda mungkin diminta oleh ahli keluarga atau kawan untuk menjadi penjamin bagi pinjaman mereka. Fikirlah dengan berhati-hati sebelum anda membuat keputusan kerana sebagai penjamin pinjaman, sekiranya peminjam gagal atau enggan membuat bayaran, anda adalah terikat dari segi undang-undang untuk membayar balik pinjaman tersebut.
                                   
Sekiranya anda setuju menjadi penjamin, pastikan anda:
• Memahami ciri jaminan tersebut dan kesan-kesannya.
• Tidak menandatangani dokumen kosong atau borang yang tidak lengkap.
• Tidak menjadi penjamin kepada orang yang anda sangsi akan integritinya.
• Sedar akan liabiliti yang perlu anda hadapi sekiranya terdapat pindaan yang dibuat kepada terma dan syarat pinjaman.

Bukanlah mudah sekiranya anda ingin menarik diri sebagai penjamin

Namun demikian, keputusan terletak kepada institusi kewangan berkenaan, yang mungkin setuju dengan penarikan diri anda dengan syarat bahawa anda perlu membuat pembayaran penuh baki pinjaman. Sekiranya peminjam meninggal dunia dan tidak ada sumber alternatif, institusi kewangan berhak menuntut bayaran daripada penjamin.

Ahad, 27 Januari 2013

Nabi muhammad yang mulia

                                  

Di sudut pasar Madinah, ada seorang pengemis Yahudi buta yang setiap harinya selalu berkata kepada setiap orang yang mendekatinya, "Wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya maka kalian akan dipengaruhinya" .

Namun, setiap pagi Muhammad Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawakan makanan, dan tanpa berucap sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu sedangkan pengemis itu tidak mengetahui bahawa yang menyuapinya itu adalah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW melakukan hal ini setiap hari sampai baginda wafat. 

Setelah wafatnya Rasulullah SAW, tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. 
Aisyah RA menjawab, "Wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu kebiasaannya pun yang belum ayah lakukan kecuali satu saja". "Apakah itu?", tanya Abu Bakar RA.

"Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang ada di sana ", kata Aisyah RA.

Keesokan harinya Abu Bakar RA pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis itu. Abu Bakar RA mendatangi pengemis itu lalu memberikan makanan itu kepadanya. 

Ketika Abu Bakar RA mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil mengherdik, "Siapakah kamu?". Abu Bakar RA menjawab, "Aku orang yang biasa (mendatangi engkau)." "Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku," bantah si pengemis buta itu.

"Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut, setelah itu ia berikan padaku", pengemis itu melanjutkan perkataannya. 

Abu Bakar RA tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, "Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu. Aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah SAW". 

Seketika itu juga pengemis itu pun menangis mendengar penjelasan Abu Bakar RA, dan kemudian berkata, "Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, dia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, dia begitu mulia, " 

Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat di hadapan Abu Bakar RA saat itu juga dan sejak hari itu menjadi seorang muslim. 

Sabtu, 26 Januari 2013

Skim bayaran perumahan


                                 

Pinjaman perumahan boleh dibayar melalui cara-cara berikut:

Skim bayaran berperingkat: Kaedah ini membolehkan anda mengurangkan beban pembayaran pada peringkat awal pinjaman. Bayaran ansuran meningkat apabila kemampuan peminjam meningkat. Kaedah ini berguna apabila anda baru sahaja mendapatkan pekerjaan dan gaji anda dijangka meningkat dari tahun ke tahun.

Pembayaran awal pinjaman: Anda boleh memendekkan tempoh pinjaman dengan membuat pembayaran awal bagi sebahagian daripada baki pinjaman melalui lebihan wang tabungan atau bonus tahunan. Jika dibuat pada tahun-tahun awal pinjaman, anda dapat mengurangkan caj faedah yang dikenakan. Walau bagaimanapun, sesetengah institusi kewanganmenghadkan jumlah yang boleh dibuat bagi pembayaran awal. Jumlah pokok sesuatu pinjaman akan berkurangan setiap kali bayaran ansuran dibuat.

Sebagai peminjam, anda hendaklah:
• Membaca dan memahami keseluruhan terma dan syarat pinjaman.
• Sentiasa mematuhi terma dan syarat yang telah ditetapkan.
• Bertanya mengenai semua aspek pinjaman sehingga anda berpuas hati.
• Membuat bayaran ansuran mengikut jadual.
• Pastikan anda mendapat maklumat yang tepat mengenai pinjaman anda.

Sepertimana pinjaman yang lain, sekiranya anda gagal membuat bayaran, institusi kewangan berkenaan berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap anda agar mendapatkan semula pinjaman tersebut.

Jumaat, 25 Januari 2013

Pinjaman perumahan


Pasaran untuk pinjaman perumahan adalah amat kompetitif dan institusi kewangan kini menawarkan pelbagai jenis pinjaman untuk menarik pelanggan. Terdapat juga pinjaman yang menawarkan hadiah-hadiah percuma untuk dipakejkan bersama pinjaman perumahan tersebut. Buatlah perbandingan dan dapatkan sebanyak mungkin maklumat seperti kadar faedah yang ditawarkan sebelum menentukan pinjaman yang sesuai bagi anda. Seperti produk pinjaman lain, anda boleh memilih antara pinjaman perumahan konvensional atau
perbankan Islam.
                             
                              

Pinjaman perumahan merupakan suatu komitmen kewangan yang sangat besar serta memakan masa yang panjang untuk dijelaskan. Pertimbangkan dengan teliti semua aspek pinjaman sebelum membuat sebarang keputusan dan antaranya:
• Adakah pinjaman tersebut untuk membeli rumah yang telah siap atau yang masih dalam binaan? Adakah anda akan membeli tanah untuk membina rumah?
• Berapakah nilai rumah atau tanah yang ingin anda beli? Berapakah ansuran yang mampu anda bayar setiap bulan, bergantung kepada aliran tunai bulanan anda?
• Adakah anda mempunyai cukup wang untuk membuat bayaran pendahuluan dan alirantunai yang memadai untuk bayaran ansuran seterusnya?
• Apakah fi berkaitan atau kos lain yang perlu dibayar? Contohnya fi guaman, duti setem, fi pemprosesan dan fi pembayaran.
• Adakah kadar faedah tetap atau kadar faedah berubah selaras dengan perubahan pada kadar pemberian pinjaman asas (BLR - Base Lending Rates)?
• Adakah bayaran pinjaman anda fleksibel? Terdapat beberapa jenis skim pembayaran fleksibel yang ditawarkan. Buat semakan.
• Adakah dikenakan apa-apa penalti sekiranya anda membuat bayaran balik keseluruhan pinjaman lebih awal daripada tempoh yang dipersetujui?

Institusi kewangan biasanya mengenakan penalti sebegini kerana mereka telah menawarkan pakej yang menarik bagi pinjaman perumahan anda. Adakah kadar faedah yang tetap ataupun yang berubah-ubah lebih baik bagi pinjaman anda?

Dengan kadar pinjaman tetap, faedahnya tetap dan anda sedia maklum tentang jumlah ansuran yang perlu dibayar. Manakala bagi kadar yang berubahubah, faedahnya berubah mengikut perubahan pada kadar pemberian pinjaman asas (BLR). Jika kadar tersebut meningkat, maka kadar faedah yang dikenakan akan meningkat dan begitu juga dengan bayaran ansuran bulanan anda. Bagaimanapun, sekiranya kadar pemberian pinjaman asas (BLR) menurun, maka anda akan menikmati manfaatnya kerana bayaran bulanan anda juga akan menurun. Terdapat juga kadar pinjaman faedah yang berubahubah tetapi bayaran ansuran bulanannya adalah tetap. Sekiranya berlaku perubahan pada kadar faedah, maka yang berubah hanyalah tempoh masa pembayaran pinjaman sama ada mengurang ataupun bertambah.

Khamis, 24 Januari 2013

BIODATA RASULULLAH S.A.W



Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ( نبي محمد صلى الله عليه وسلم ) adalah pesuruh Allah yang terakhir. Baginda adalah pembawa rahmat untuk seluruh alam dan merupakan Rasulullah bagi seluruh umat di dunia.  Sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W merupakan satu anugerah dan kurniaan Allah SWT kepada umat manusia untuk menunjukkan jalan yang lurus dan benar. 

Baginda bukan sahaja diangkat sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai khalifah, yang mengetuai angkatan tentera Islam, membawa perubahan kepada umat manusia, mengajarkan tentang erti persaudaraan, akhlak dan erti kehidupan yang segalanya hanya kerana Allah SWT.

Nabi Muhammad dilahirkan di Mekah dan kembali ke rahmatullah di Madinah. Nabi Muhammad S.A.W merupakan Rasul dan Nabi terakhir bagi umat manusia dan seluruh alam. Nabi Muhammad merupakan pelengkap ajaran Islam. Beliau juga digelar Al Amin (الأمين) yang bermaksud 'yang terpuji'.


BIODATA RASULULLAH S.A.W:

1. Nama: Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
2. Tarikh lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M (dikenali sebagai tahun gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yangmenyerang kota Mekah)
3. Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah
4. Nama bapa: ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
5. Nama ibu: Aminah binti Wahab bin ‘Abdul Manaf
6. Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW)
7. Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)
8. Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa’diah (lebih dikenali Halimah As-Sa’diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)



SEJARAH RINGKAS RASULULLAH S.A.W: 

USIA 5 TAHUN
* Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di
dalamnya.

USIA 6 TAHUN
* Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa’ (sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah)
* Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya ‘Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN
* Datuknya, ‘Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
* Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
* Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.
* Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN
* Terlibat dalam peperangan Fijar. Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘Sirah’ , jilid 1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.
* Menyaksikan ‘ perjanjian Al-Fudhul’; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah.

USIA 25 TAHUN
* Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.
* Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah..
* Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
* Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN
* Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Ka’abah.
* Pembinaan semula Ka’abah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah.
* Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘Hajarul-Aswad’ ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN
* Menerima wahyu di gua Hira’ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

USIA 53 TAHUN
* Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.
* Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

USIA 63 TAHUN
* Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH S.A.W
1. Khadijah Binti Khuwailid
2. Saudah Binti Zam’ah
3. Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar)
4. Hafsah binti ‘Umar (anak Saidina ‘Umar bin Al-Khattab)
5. Ummi Habibah Binti Abu Sufyan
6. Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah)
7. Zainab Binti Jahsy
8. Maimunah Binti Harith
9. Safiyah Binti Huyai bin Akhtab
10.Zainab Binti Khuzaimah (digelar ‘Ummu Al-Masakin’; Ibu Orang Miskin)

ANAK-ANAK RASULULLAH S.A.W
1. Qasim
2. Abdullah
3. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra’


Nabi Muhammad s.a.w juga mendapatkan julukan Abu al-Qasim yang bererti "bapak Qasim", kerana Nabi Muhammad s.a.w pernah memiliki anak lelaki yang bernama Qasim iaitu anak baginda bersama Khadijah, tetapi ia meninggal dunia sebelum mencapai usia dewasa.

Asas Sewa Beli


                               

Deposit minimum: Deposit minimum ialah 10% daripada harga tunai kenderaan. Walau bagaimanapun, bank boleh menetapkan jumlah pendahuluan yang lebih tinggi. 

Kadar faedah: Adalah mengikut kadar tetap dan kadar maksimum yang dibenarkan ialah 10%. Kadar faedah efektif: Merupakan faedah sebenar yang perlu dibayar setelah mengambil kira faedah kompaun tahunan mengikut tempoh pinjaman.

Caj bayaran lewat: Anda akan dikenakan denda sekiranya anda lewat membuat bayaran ansuran. Faedah dikenakan mengikut kadar asas harian.

Penjamin: Institusi kewangan mungkin memerlukan penjamin yang akan bertanggung jawab untuk membayar balik pinjaman atau bakinya sekiranya peminjam tidak mampu menjelaskan hutang tersebut.

Insurans: Anda perlu membeli insurans untuk melindungi kenderaan anda. Institusi kewangan menghendaki tuan punya kenderaan membeli polisi insurans yang komprehensif.

Penarikan balik: Jika anda ingkar dalam membuat bayaran, institusi kewangan berhak menarik balik kenderaan anda kerana mereka adalah pemilik sah kenderaan tersebut sepanjang tempoh pinjaman. Apabila bayaran tidak dibuat mengikut jadual, institusi kewangan boleh menarik balik kenderaan dengan melantik penarik yang berdaftar. Penarikan balik kenderaan anda akan mendatangkan pengalaman yang mengejutkan lagi memalukan. Sebelum menarik balik kenderaan, penarik mestilah menunjukkan kad pengenalannya, kad kuasa dan surat arahan penarikan balik yang dikeluarkan oleh institusi kewangan yang berkenaan. Penarik mestilah membuat laporan polis dan kemudiannya membawa kereta yang ditarik ke tempat yang telah
diarahkan oleh institusi kewangan. Anda akan menerima notis bertulis yang dikenali sebagai Notis Jadual Keempat sebelum kenderaan anda ditarik balik. Notis ini akan luput dalam masa 21 hari dan notis kedua pula akan dikeluarkan 14 hari selepas tarikh notis Jadual Keempat diserahkan – ini merupakan peringatan bagi anda membuat bayaran tertunggak atau kenderaan anda akan ditarik balik. Untuk mengelak penarikan balik kenderaan, anda perlu membuat bayaran tertunggak atau memulangkan kenderaan tersebut kepada institusi kewangan sebelum tarikh luput. Bagaimanapun anda masih perlu menjelaskan baki hutang selepas ditolak nilai kenderaan tersebut. Masih ada cara lain untuk mendapatkan kembali kenderaan anda yang telah ditarik balik. Institusi kewangan akan memberi penjamin dan anda Notis Jadual Kelima dalam masa 21 hari selepas penarikan supaya anda dapat membayar balik jumlah hutang yang tertunggak. Sekiranya anda menjelaskan semua jumlah yang tertunggak dan perbelanjaan berkaitan yang ditanggung oleh institusi kewangan, maka bolehlah anda meminta agar kenderaan tersebut dipulangkan. Sebagai alternatif, anda boleh memperkenalkan anggota keluarga atau kawan untuk membeli kenderaan anda pada harga yang telah ditetapkan dalam Jadual Kelima. Sekiranya anda atau penjamin tidak menjelaskan jumlah yang tertunggak pada Jadual Kelima dalam tempoh 21 hari, institusi kewangan berhak menjual kenderaan tersebut melalui lelongan awam atau menawarkan semula kepada anda untuk membeli kenderaan tersebut pada harga
yang lebih rendah berbanding harga anggaran yang ditetapkan dalam notis Jadual Kelima.

Rabu, 23 Januari 2013

Pinjaman kereta


Kebanyakan orang mahukan kenderaan sendiri sebaik-baik saja mula bekerja. Lazimnya, mereka membeli kereta melalui pinjaman yang dikenali sebagai pinjaman sewa beli (Hire Purchase – HP). Anda akan dikenali sebagai penyewa dan institusi kewangan pula sebagai tuan punya kenderaan itu. Sebagai penyewa, anda perlu membuat bayaran ansuran berdasarkan terma dan syarat yang telah dipersetujui di bawah perjanjian sewa beli. Anda menjadi tuan punya kenderaan tersebut hanya setelah semua bayaran ansuran dijelaskan.

                              

Seperti pinjaman lain juga, tanya diri anda soalan-soalan penting sebelum membuat keputusan untuk meminjam. Anda juga perlu membuat aliran tunai untuk mengira jumlah ansuran bulanan yang mampu anda bayar. Apabila anda membuat pinjaman kenderaan, anda boleh membuat pinjaman sewa beli secara berurusan terus dengan bank atau melalui wakil penjual kereta, yang kemudiannya akan menyerahkan permohonan anda kepada bank berkenaan. Sebagai penyewa, anda bertanggung jawab untuk:

• Membaca perjanjian dengan teliti.
• Memastikan harga belian dan terma sewa beli adalah seperti yang dipersetujui.
• Memastikan anda mengetahui hak-hak anda di bawah Akta Sewa Beli.
• Memastikan anda mengetahui tanggungjawab anda di bawah perjanjian sewa beli untuk memastikan anda tidak melakukan apa-apa tindakan yang melanggar perjanjian.
• Menyimpan segala dokumen, seperti surat perjanjian sewa beli dan resit di tempat yang selamat.
• Membuat pembayaran hanya kepada orang yang diberi kuasa oleh bank. 

Sebelum pinjaman kenderaan dibuat, ketahui tentang kadar faedah efektif yang dikenakan kerana biasanya kadar ini lebih tinggi daripada kadar tetap yang ditawarkan. 

Lihat contoh di bawah bagi pinjaman sebanyak RM50,000 pada kadar faedah 5% bagi tempoh lima tahun. Kadar faedah efektifnya ialah 9.15%.


Selasa, 22 Januari 2013

Pinjaman peribadi


                           

Pinjaman ini ditawarkan bagi kegunaan peribadi anda, bukannya pembelian berjumlah besar seperti rumah atau kereta tetapi lebih kepada pembelian komputer peribadi atau bagi perkahwinan anda. Memandangkan proses permohonan pinjamannya mudah dan cepat, ia telah menarik mina ramai peminjam, ditambah pula kebanyakan bank tidak meminta sebarang penjamin atau cagaran.

Sebaliknya perlu diingatkan bahawa kadar faedah berbeza-beza dan mungkin tinggi. Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, tanya dulu diri anda soalan soalan penting sebelum anda memohon pinjaman seumpama ini. Pastikan yang anda benar-benar memahami tujuan pinjaman dibuat dan anda mampu untuk membuat pembayaran balik.

Isnin, 21 Januari 2013

JENIS-JENIS PINJAMAN - Pinjaman pelajaran


Terdapat pelbagai jenis pinjaman dan kemudahan kredit di pasaran. Kita akan membincangkan tentang pinjaman yang biasa ditawarkan kepada orang ramai.

                              
Pinjaman pelajaran

Lazimnya ditawarkan oleh pihak kerajaan, agensi kerajaan dan organisasi swasta kepada pelajar kolej atau universiti untuk membantu membiayai pelajaran tinggi mereka. Pinjaman ini ditawarkan pada caj faedah yang rendah dan perlu dibayar apabila pelajar tersebut beroleh pekerjaan. Kebanyakan pinjaman yang ditawarkan oleh kerajaan dan agensinya, seperti dana PTPTN, berasaskan konsep pusingan Ini bermaksud terdapat suatu jumlah tetap dalam dana tersebut.

Bayaran balik daripada peminjam peminjam sebelumnya akan dikumpulkan dan kemudian digunakan semula untuk memberi balik pinjaman kepada pemohon baru. Siswazah yang tidak membuat pembayaran balik pinjaman pelajaran mereka, sebenarnya menafikan hak pelajar lain untuk menikmati manfaat pinjaman tersebut.

Ahad, 20 Januari 2013

Peliharalah mata anda - Professor Dr. Muhaya Mohamad

                                 


MATA adalah salah satu organ manusia yang sangat berharga kurniaan Tuhan yang membolehkan kita melihat.  Sistem penglihatan yang sempurna ini akan berkurang sedikit demi sedikit apabila meningkatnya usia. Walaupun ini adalah perkara biasa dalam penuaan, masih terdapat antara kita yang kurang prihatin dalam penjagaan mata, terutamanya mereka yang berumur 40 tahun ke atas.

Terdapat beberapa penyakit dan gangguan mata yang dikaitkan dengan proses penuaan. Dengan adanya teknologi yang sering berkembang hari demi hari, penglihatan yang sempurna dan terang dapat dinikmati oleh semua golongan di hari tua. Sayangnya, banyak yang berpendapat bahawa tiada bantuan dapat diberikan kepada masalah mata berkaitan dengan penuaan. Salah satu gangguan mata yang sering berlaku ketika penuaan ialah presbiopia, yang bermula di kalangan mereka dalam lingkungan 40 ke 50 tahun.

Hasil dari penuaan, kanta mula hilang keanjalannya, menyukarkan untuk memfokus jarak dekat seperti aktiviti membaca. Tetapi presbiopia boleh dibetulkan dengan penggunaan cermin mata untuk membaca atau cermin mata dengan bifocal, trifocal atau kanta (tanpa garis) progresif.

Penuaan mata juga menyebabkan kanta mata menjadi lebih tebal dan kuning iaitu pembentukan katarak awal. Perubahan ini mungkin akan memberi kesan kepada persepsi warna dan ketajaman penglihatan.
Apabila mata melalui proses penuaan, anak mata menjadi semakin kecil, menyebabkan keperluan kepada lebih cahaya untuk melihat dengan jelas.

Terdapat juga beberapa situasi lain yang membolehkan kehilangan penglihatan, antaranya degenerasi makula, glaukoma, katarak dan retinopati diabetis.

Perkara yang paling penting di dalam penuaan mata adalah untuk menjalani pemeriksaan mata secara berkala oleh pakar mata untuk memastikan kesihatan mata dan pengesanan awal sebarang penyakit mata. 

Berikut merupakan beberapa persoalan yang sering menjadi persoalan di kalangan pesakit:

1. Apakah faktor yang mempengaruhi kesihatan mata seseorang?
- Terdapat dua faktor utama iaitu faktor genetik dan faktor alam sekitar di samping tabiat pemakanan dan tabiat merokok seseorang. Faktor genetik menentukan sama ada seseorang itu mengalami rabun, katarak pada umur awal, degenerasi makula dan penyakit mata lain manakala tabiat merokok pula amat mempengaruhi kesihatan mata.

2. Bagaimanakah cara terbaik untuk menjaga kesihatan mata dan mencegah kebutaan ketika umur meningkat?
- Cara terbaik adalah dengan menjaga pemakanan dengan banyak memakan ikan dan sayuran serta makanan kesihatan dan mengelakkan merokok sejak usia muda. Seperkara lagi bagi mereka yang berumur 40 tahun ke atas, harus menjalani pemeriksaan mata secara berkala oleh pakar mata untuk mengesan penyakit mata berbahaya yang mungkin tidak mempunyai gejala, seperti kekaburan.

3. Apakah peringkat umur yang harus menjalani pemeriksaan secara berkala oleh pakar mata?
- Mereka yang sihat tubuh badan dan berumur kurang daripada 40 tahun harus menjalani pemeriksaan mata setiap dua tahun dan setelah berumur 40 tahun, harus menjalani pemeriksaan setiap tahun. Jika seseorang mengidap kencing manis atau darah tinggi, harus menjalani pemeriksaan setiap tahun walaupun berumur kurang daripada 40 tahun.

4. Kenapa mereka yang berumur 40 tahun ke atas harus menjalani pemeriksaan mata setiap tahun?
- Apabila anda berumur 40 tahun, risiko untuk mendapat penyakit mata meningkat. Penyakit mata yang berbahaya mungkin menyebabkan kebutaan termasuklah glaukoma, degenerasi makula dan katarak. Semua penyakit ini tidak mempunyai gejala pada peringkat awal dan hanya dapat dikesan oleh pakar mata. Pemeriksaan mata juga mungkin mengesan penyakit kencing manis dan darah tinggi melalui perubahan pada salur darah mata dalam keadaan berkenaan.

5. Apakah risiko untuk seseorang berumur lebih 40 tahun mengalami masalah gangguan penglihatan?
- Statistik menunjukkan sebanyak satu pertiga daripada mereka yang berumur 40 tahun ke atas mengalami masalah mata. Pakar mata harus mengesan penyakit mata sebelum berlaku kebutaan yang kekal. Adalah tidak bijak untuk menunggu sehingga ada masalah sebelum menjalani pemeriksaan mata.

6. Apakah yang dilakukan ketika pemeriksaan mata oleh pakar mata?
- Pemeriksaan mata sepenuhnya mengambil masa 30 minit di mana sejarah kesihatan anda dan keluarga anda diteliti terlebih dahulu. Pemeriksaan mata secara menyeluruh dilakukan menggunakan berbagai alat untuk menentukan struktur mata anda sihat. Tekanan mata juga diperiksa untuk menentukan anda tidak mengidap glaukoma. Gambar retina anda akan diambil untuk dokumentasi dan sebagai rekod status saraf mata dan retina anda. Otot mata anda juga diperiksa untuk menentukan otot bergerak dengan sempurna. Refraksi dilakukan untuk menentukan keperluan anda untuk memakai cermin mata dan adakah cermin mata yang digunakan sesuai. Setelah pemeriksaan dilakukan, pakar mata akan menerangkan kepada anda status mata dan memberi nasihat yang perlu untuk menjaga kesihatan mata anda.

7. Apakah pengalaman doktor dengan mereka yang merokok dan kesihatan mata?
- Saya sering berjumpa pesakit, selalunya lelaki, yang berumur kurang dari 40 tahun yang merupakan perokok tegar dan mengidap katarak pada kedua belah mata. Terdapat juga di kalangan perokok yang mengalami degenerasi makula yang menyebabkan kebutaan kedua belah mata pada peringkat umur melebihi 65 tahun. Mereka selalunya menyesal tetapi keadaan mata telah teruk dan mereka menjadi buta untuk selamanya dan rawatan yang mahal hanya dapat memulihkan sedikit sahaja penglihatan mereka.

8. Apakah pengalaman doktor dengan mereka yang lambat berjumpa pakar mata?
- Terdapat pesakit yang datang lewat hanya setelah mereka benar-benar tidak dapat melihat lagi. Ini sering berlaku kepada pesakit kencing manis. Mereka menjadi buta dengan cepat dan walaupun dirawat, penglihatan hanya dapat dipulihkan dengan sedikit sahaja. Semua warga Malaysia melebihi 40 tahun harus menjalani pemeriksaan mata secara berkala oleh pakar mata untuk mengesan sebarang masalah yang wujud dari peringkat awal dan mencegah kebutaan. Jika keluarga anda mengalami masalah mata, kencing manis, penyakit serius atau pun memakan ubat yang mungkin mempunyai kesan ke atas mata, mereka seharusnya menjalani pemeriksaan mata yang sepenuhnya.

Khamis, 17 Januari 2013

PINJAMAN DAN KREDIT


                               
Apabila anda membuat pinjaman atau menggunakan kad kredit, tanya diri anda soalan berikut:

• Adakah produk atau perkhidmatan yang anda inginkan itu penting? Adakah ia benar-benar perlu?

• Sekiranya ia penting dan diperlukan, mampukah anda untuk membuat bayaran ansurannya?

• Jika ianya melibatkan pembelian besar, seperti kereta atau rumah, mampukah anda menyediakan wang pendahuluan yang besar?

• Jika ianya sesuatu yang anda ingini, bolehkah anda mengawal perasaan dan menangguhkan pembelian tersebut kerana ia tidak penting?

• Jika anda membuat pinjaman atau menggunakan kad kredit untuk membeli sesuatu, sudahkah anda mengkaji aliran tunai anda sama ada ia dapat menampung pinjaman tersebut ataupun tidak?

• Adakah anda sedia maklum tentang kos yang dikenakan sekiranya kad kredit digunakan? Bukan saja kos faedah, malah caj-caj kewangan dan caj lewat bayar perlu diambil kira.

• Adakah anda memahami akibat kegagalan membayar balik pinjaman? Jika gagal berbuat demikian, prosiding boleh diambil terhadap anda dan anda mungkin diisytiharkan muflis. Perlu diingatkan, sekiranya anda tidak mampu menambahkan pendapatan, anda perlu berkorban sesuatu untuk membolehkan anda membuat bayaran pinjaman bulanan. Adakah anda bersedia untuk berkorban? Sebagai contoh, sanggupkah anda melepaskan keseronokan pada hujung minggu semata-mata untuk membuat bayaran untuk pinjaman dan hutang kad kredit anda? Walaupun anda berhati-hati dalam menguruskan aliran tunai bulanan anda bagi bayaran pinjaman dan hutang kad kredit, namun kejadian atau keadaan yang tidak diduga mungkin berlaku dan anda akan memerlukan wang tambahan. Adakah anda masih mampu menghadapi komitmen bulanan
sekiranya perkara tersebut berlaku? Oleh itu, amatlah penting agar anda tidak membuat pinjaman dan menggunakan kad kredit secara berlebihan. Sebagai panduan am, pastikan jumlah bayaran bulanan pinjaman dan kad kredit tidak melebihi satu pertiga daripada gaji kasar anda.

Rabu, 16 Januari 2013

ASAS PINJAMAN



                                   
Anda mungkin terpengaruh untuk membelanjakan lebih wang daripada apa yang sedia ada kerana institusi kewangan menawarkan pelbagai kemudahan pinjaman dan kad kredit. Institusi tersebut menawarkan anda wang dan pinjaman kredit untuk membolehkan anda membeli rumah, kereta, membayar bil atau melancong ke luar negara. Adalah penting untuk anda ingat bahawa wang pinjaman tersebut bukan diberikan percuma. Anda perlu membayarnya balik – ditambah faedahnya sekali!

Sebelum membuat pinjaman, pastikan anda mampu menguruskan hutang anda. Ingat bahawa anda semestinya memiliki lebih daripada apa yang anda hutang. Anda ingin membina kekayaan. Jika anda meminjam wang, anda perlu menggunakan wang tersebut untuk menambahkan lagi wang anda. Cuba elak daripada membeli sesuatu yang tidak memanfaatkan anda. 

Jangan gunakan pinjaman jangka masa pendek seperti kad kredit atau overdraf, untuk membiayai aset jangka masa panjang seperti rumah.

Selasa, 15 Januari 2013

Membuat tuntutan




Bila membuat sebarang tuntutan, anda harus membuktikan bahawa kejadian tersebut benar-benar telah berlaku. Pastikan maklumat yang diperlukan oleh syarikat insurans dipenuhi. Contohnya, sekiranya barangan peribadi anda yang diinsuranskan dicuri, anda perlulah mengemukakan suatu laporan polis mengenainya.

Apa yang penting ialah anda haruslah segera menghubungi syarikat insurans sebaik sahaja berlakunya sesuatu malapetaka. Proses tuntutan dapat diselesaikan dengan segera sekiranya anda mengemukakan semua dokumen dengan lengkap.

KESIMPULANNYA

• Jumlah insurans hayat yang perlu dibeli bergantung kepada jumlah wang yang diperlukan untuk mengekalkan gaya hidup anda serta membayar perbelanjaan apabila anda sakit tenat atau kehilangan upaya disebabkan oleh penyakit atau kemalangan.
• Seseorang perunding insurans atau broker mestilah dilesenkan oleh BNM dan adalah ahli anggota Malaysian Insurance and Takaful Brokers Association.
• Ejen insurans hayat mestilah dilantik oleh syarikat insurans hayat yang berlesen dan berdaftar dengan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM).
• Ejen insurans am pula mestilah dilantik oleh syarikat insurans am yang berlesen dan berdaftar dengan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).
• Apabila membuat tuntutan, pastikan anda mempunyai dokumen lengkap yang diperlukan oleh syarikat insurans agar proses tuntutan dapat diselesaikan dengan segera.